
Trump Umum Tarif Tambahan 100 Peratus Terhadap China
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif tambahan sebanyak 100 peratus terhadap China pada Jumaat dan mengancam untuk membatalkan sidang kemuncak dengan rakan sejawatnya, Xi Jinping, lapor AFP.
Pengumuman itu menyemarakkan semula ‘perang’ perdagangannya dengan Beijing dalam perbalahan berhubung sekatan eksport mineral nadir bumi.
Trump berkata levi tambahan itu, serta kawalan eksport AS ke atas mana-mana dan semua perisian kritikal akan berkuat kuasa mulai 1 November sebagai tindak balas terhadap tindakan Beijing yang didakwa sangat agresif.
Dakwanya, China telah menghantar surat ke negara-negara di seluruh dunia yang memperincikan kawalan eksport ke atas mineral nadir bumi.
“Adalah mustahil untuk mempercayai bahawa China akan mengambil tindakan sedemikian, tetapi mereka telah melakukannya dan selebihnya adalah sejarah,” katanya di Truth Social.
Unsur nadir bumi adalah penting untuk menghasilkan pelbagai produk atau teknologi seperti melibatkan telefon pintar, kenderaan elektrik, perkakasan tentera dan teknologi tenaga boleh diperbaharui.
China mendominasi pengeluaran dan pemprosesan global bahan-bahan ini.
Perang perdagangan itu memberi impak yang besar kepada pasaran saham semasa, dengan Nasdaq turun 3.6 peratus dan S&P 500 turun 2.7 peratus.
Sebelum ini, Trump mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas barangan China. Manakala, China pula membalas dengan 10 peratus terhadap AS.
Sementara itu, Trump juga mengancam untuk membatalkan pertemuan dengan Xi pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akhir bulan ini.
Ia adalah pertemuan pertama antara pemimpin dua ekonomi terbesar dunia sejak Trump kembali berkuasa pada Januari.
“Saya akan bertemu Presiden Xi dalam dua minggu, di APEC, di Korea Selatan, tetapi kini nampaknya tiada sebab untuk berbuat demikian,” tulisnya.
Trump kemudian memberitahu pemberita di Pejabat Oval bahawa dia tidak membatalkan mesyuarat itu.
“Saya tidak membatalkannya dan akan berada di sana, tetapi saya tidak tahu sama ada ia akan berlaku atau tidak,” katanya.
Sumber: AFP
The post Trump Umum Tarif Tambahan 100 Peratus Terhadap China appeared first on Siakap Keli.



