TSH Resources tegaskan operasi di Indonesia tidak menyumbang kepada jerebu

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 5:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TSH Resources tegaskan operasi di Indonesia tidak menyumbang kepada jerebu Image from: TSH Resources tegaskan operasi di Indonesia tidak menyumbang kepada jerebu hamden22/10/2026 - 17:28 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt - TSH Resources Berhad menegaskan operasi dan aktiviti kumpulannya dalam kawasan konsesi di Indonesia tidak menyumbang kepada kejadian jerebu rentas sempadan yang melanda negara dan Singapura pada masa ini.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia bagi menjawab pertanyaan Singapore Exchange Securities Trading Limited (SGX), syarikat perladangan itu berkata operasi, kawasan konsesi dan asetnya di Indonesia tidak terjejas akibat kebakaran hutan serta tanah gambut.

 

"TSH turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak dinamakan atau menerima sebarang notis daripada agensi alam sekitar berhubung kejadian jerebu berkenaan," katanya dalam kenyataan itu.

 

TSH berkata, antara Januari hingga 21 Oktober 2026, tiada kebakaran dikesan dalam kawasan penanaman atau operasi kumpulan itu, selain tiada laporan atau dakwaan bahawa kebakaran dicetuskan oleh pekerjanya.

 

Bagaimanapun, sebanyak 274 titik panas dikesan dalam sempadan ladangnya sepanjang tempoh berkenaan, yang semuanya terletak di kawasan enklaf komuniti di luar kawasan operasi kumpulan.

 

Pasukan lapangan TSH bertindak memadamkan kebakaran berkenaan dan laporan polis turut dibuat berhubung insiden terbabit.

 

Pertanyaan tentang titik panas

Syarikat itu turut menjelaskan satu kebakaran setempat berlaku pada 17 Ogos 2026 dalam kawasan Hak Guna Usaha milik anak syarikatnya, PT Bulungan Citra Agro Persada (BCAP).

 

Menurut TSH, kebakaran itu berpunca dari kawasan enklaf komuniti di luar kawasan operasi BCAP dan berjaya dipadamkan pada hari sama. BCAP juga membuat laporan polis serta terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

 

Berhubung pertanyaan daripada pihak berkepentingan, TSH berkata pihaknya menerima pertanyaan daripada Jabatan Kelestarian Apical Group, salah satu pelanggannya, pada 1 September 2026 mengenai titik panas di PT Farinda Bersaudara.

 

TSH menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku di kawasan enklaf komuniti di luar kawasan operasinya, dan Apical berpuas hati dengan penjelasan berkenaan.

 

Syarikat itu berkata tiada pertanyaan rasmi lain diterima selepas itu, manakala sehingga 15 Oktober 2026, tiada laporan media yang menonjolkan TSH Resources dan kumpulan syarikatnya berhubung perkara berkenaan.

 

Dasar Sifar Pembakaran

Bagi mencegah dan menangani kebakaran, TSH melaksanakan Dasar Sifar Pembakaran yang melarang penggunaan api bagi semua operasi, termasuk penyediaan tanah, penanaman baharu dan penanaman semula.

 

Dasar itu telah dimasukkan dalam Dasar Kelestarian Kumpulan sejak Mei 2009 dan turut terpakai kepada kontraktor serta pembekalnya. Kumpulan juga tidak membangunkan penanaman baharu di tanah gambut selepas 31 Disember 2015.

 

Antara langkah pemantauan yang digunakan ialah Platform Pemantauan dan Penjejakan Landskap Bersepadu (LiTUP), yang menggabungkan amaran kebakaran satelit NASA FIRMS dan imej Copernicus Sentinel bagi mengesan titik panas, pembersihan tanah serta pencerobohan.

 

Sistem itu memantau kawasan konsesi dan zon penampan sehingga dua kilometer di luar sempadannya, dengan kemas kini kira-kira setiap tiga jam bagi membolehkan pengesanan awal dan tindakan segera.

 

TSH turut mempunyai 28 skuad pemadam kebakaran terlatih yang terdiri daripada 425 anggota, selain 123 menara pemantauan kebakaran dan 11 dron bagi meningkatkan pengawasan.

 

Kumpulan itu membelanjakan secara purata kira-kira RM2 juta setahun untuk langkah pencegahan, pemantauan dan tindak balas kebakaran.

 

Semua ladang TSH di Indonesia juga diperakui di bawah skim Minyak Sawit Lestari Indonesia (ISPO), yang tertakluk kepada audit pihak ketiga secara berkala.

 

TSH berkata perkara yang dibangkitkan tidak sepatutnya memberikan kesan material terhadap operasi, kewangan, perundangan, kawal selia atau reputasi kumpulan.

 

Syarikat itu turut berpandangan pendedahan melalui SGXNet tidak diperlukan kerana tiada insiden yang berpotensi memberikan kesan material terhadap kumpulan, selain langkah ramalan, pencegahan dan mitigasi yang diperlukan telah dilaksanakan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved