Pembenihan awan ikhtiar kurangkan jerebu di Johor

LocalEnvironment
20 Oct 2026 • 9:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pembenihan awan ikhtiar kurangkan jerebu di Johor

JOHOR BAHRU – Operasi Pembenihan Awan (OPA) menggunakan lapan tan garam menerusi pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaksanakan bagi membantu mengurangkan kepekatan jerebu yang melanda Johor.

Operasi itu memberi tumpuan kepada dua kawasan utama iaitu Yong Peng hingga Machap serta Mersing hingga Kota Tinggi bagi merangsang pembentukan hujan yang diharapkan dapat membantu memperbaiki kualiti udara di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, operasi berkenaan merupakan usaha bersama beberapa agensi bagi menangani masalah jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Operasi berkenaan adalah misi ke-61 dan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta No. 20 Skuadron TUDM.

“Operasi ini menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor, dengan membawa sebanyak lapan tan natrium klorida (garam) sebagai bahan pembenihan awan,”katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, operasi itu memerlukan perancangan teliti, penyelarasan antara agensi serta keadaan cuaca yang bersesuaian bagi membolehkan proses pembenihan awan dilaksanakan.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius isu jerebu kerana keadaan itu boleh menjejaskan kualiti udara, kesihatan awam serta kesejahteraan penduduk.

Sehubungan itu, kerjasama antara kerajaan negeri dengan agensi Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan langkah sewajarnya dapat dilaksanakan untuk menangani keadaan tersebut.

Setakat pukul 6 petang ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pasir Gudang dan Kluang masing-masing mencatatkan 156 dan 154, iaitu pada tahap tidak sihat. Bacaan di Larkin pula mencecah 158 pada pukul 3 petang, manakala Kota Tinggi dan Pengerang masing-masing merekodkan IPU 156 dan 155.-KOSMO! ONLINE

The post Pembenihan awan ikhtiar kurangkan jerebu di Johor appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved