TSMC merupakan syarikat pengeluar cip semikonduktor terkemuka di dunia, dengan senarai pelanggan yang penting dalam dunia teknologi seperti AMD, Apple, NVIDIA, Qualcomm dan sebagainya. Mereka sering memperlihatkan kemajuan dalam industri pengeluaran cip semikonduktor yang sukar untuk ditandingi oleh syarikat-syarikat lain, dan terkini, ia telah dilaporkan bahawa permintaan untuk khidmat pengeluaran mereka akan terus meningkat.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa TSMC telah menerima permintaan pengeluaran cip (tape-out) menggunakan proses N2 terbaru mereka sebanyak empat kali lebih banyak berbanding dengan proses-proses sebelum ini. Ini termasuklah siri cip pemprosesan pusat data AMD Zen 6. cip pemprosesan Apple A20 dan Apple M6 untuk peranti-peranti mereka akan datang, cip pemprosesan AI NVIDIA Vera Rubin, MediaTek Dimensity 9600 dan sebagainya.

Menariknya, TSMC sudahpun memulakan pengeluaran besar-besaran menggunakan proses N2 sejak penghujung tahun lepas, tetapi rekaan cip pemprosesan yang boleh memanfaatkan proses ini hanya baru siap dihasilkan pada tahun ini. Oleh kerana ini, banyak syarikat-syarikat seperti yang dinyatakan diatas baru sahaja melengkapkan proses tape-out ataupun permintaan pengeluaran cip pemprosesan tersebut.
Menurut laporan Digitimes, pendapatan yang dihasilkan menggunakan proses ini buat masa ini hanyalah 3 peratus daripada keseluruhan pendapatan berbanding dengan proses-proses lain, seperti N3 (30 peratus) dan N5 (30 peratus), tetapi angka tersebut dijangka akan meningkat dengan mendadak apabila TSMC mula menghasilkan cip-cip pemprosesan terbaru oleh klien-klien mereka.
Malah, kelak ia dijangka bahawa apabila proses N2P yang lebih cekap diperkenalkan, TSMC kelak akan menghasilkan jauh lebih banyak komponen setiap bulan di masa hadapan.
Sumber: Digitimes






