TSMC Tidak Dibenarkan Mengilang Cip Menggunakan Proses 2nm Di Luar Taiwan Buat Masa Ini

TechnologyDigital
12 Nov 2024 • 4:04 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

TSMC kini dilihat sebagai sebuah syarikat yang sangat penting dalam pengeluaran cip semikonduktor, khususnya cip pemprosesan untuk syarikat-syarikat teknologi terbesar di dunia seperti Apple, AMD, NVIDIA dan Intel.

Nod pengeluaran mereka dilihat sebagai diantara yang terbaik di pasaran sekarang, dan pada tahun depan, mereka dijangka akan mengeluarkan cip pemprosesan menggunakan proses 2nm secara besar-besaran, dengan pelanggan seperti Apple dan NVIDIA dilihat sebagai yang terbesar setakat ini.

Untuk nod proses 2nm ini, Menteri Ekonomi Taiwan, J.W. Kuo telah mengesahkan bahawa TSMC tidak dibenarkan untuk membawa teknologi tersebut keluar dari negara tersebut buat masa ini. Seperti yang sedia maklum, TSMC sudahpun mula membuka kilang pengeluaran cip semikonduktor mereka di Arizona, Amerika Syarikat dan sudahpun mula mengeluarkan cip pemprosesan menggunakan proses N5 dan N4 untuk pelanggan seperti Apple.

image is not available

Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana undang-undang Taiwan sudahpun menetapkan bahawa kilang-kilang cip pemprosesan seperti TSMC yang beroperasi di luar negara hanya dibenarkan untuk mengilang cip menggunakan teknologi proses satu generasi kebelakang, dan cip semikonduktor dengan teknologi proses terbaru hanya boleh dikeluarkan didalam Taiwan.

Kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47 nampaknya telah menimbulkan sedikit kerisauan berkenaan polisi tersebut, tetapi J.W. Kuo mengatakan bahawa tidak ada perubahan yang akan berlaku dari aspek ini, dan kilang TSMC di Arizona akan beroperasi seperti biasa.

Proses pengeluaran cip semikonduktor TSMC seterusnya akan dinamakan A16, ataupun 1.6nm yang dijangka akan mula beroperasi secara besar-besaran pada tahun 2026. Sekiranya Amerika Syarikat mahukan kilang Arizona untuk hadir dengan teknologi proses 2nm, mereka akan perlu menunggu sehingga waktu tersebut untuk mendapatkannya.