Samsung ialah syarikat pertama memperkenalkan teknologi cip 3nm sebelum TSMC pada tahun 2022. Tetapi pada ketika ini TSMC menerima pesanan paling banyak daripada pengeluar lain kerana isu hasil yang rendah sehingga kini tidak dapat diselesaikan.

Menurut laporan dari Korea Selatan, SF3E-3GAE yang merupakan teknologi 3nm generasi pertama Samsung mempunyai peratusan hasil antara 50-60% sahaja yang di bawah sasaran 70% yang diletakkan oleh syarikat. Lebih mengejutkan SF3-3GAP yang merupakan teknologi 3nm generasi kedua mempunyai hasil serendah 20% yang amatlah rendah berbanding sasaran yang diletakkan Samsung.
Ini dipercayai menjadi penyebab mengapa tiada pengeluar yang menggunakan faundri 3nm Samsung dam memilih teknologi 3nm N3E TSMC yang dilaporkan mencapai hasil setinggi 80%. N3E ialah teknologi 3nm generasi ketiga TSMC yang memperbaiki kelemahan generasi pertama yang memberikan hasil sekitar 55%.
Hasil yang lebih tinggi akan mengurangkan kos, mengelakkan pembaziran dan membolehkan pengeluaran cip pada kadar yang lebih tinggi. Antara pengguna teknologi 3nm TSMC ialah Qualcomm dengan Snapdragon 8 Elite dan Apple dengan Apple A18 serta Apple M4.
