

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu.
Itulah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan rezeki terpijak yang diterima oleh seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nik Akmal Afifah Nik Mohd Fuad, 22, apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah P-Circle di Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) baru-baru ini.

Hanya dengan memuat turun super app terbaharu Perodua, P-Circle, dan mengaktifkan ciri e-wallet (P-Duit) sepanjang acara berlangsung dari 12 hingga 21 Jun lalu, penuntut universiti ini berjaya membawa pulang sebuah Perodua Myvi 1.3 G berwarna Ivory White.
“Sudah tentu kereta ini lebih baik daripada Perodua Axia yang saya pandu pada masa ini. Terima kasih Perodua. Anda memang terbaik!,” kata Nik Akmal Afifah selepas ditemui pada majlis penyerahan Perodua Myvi 1.3 G (Ivory White) di ibu pejabat Perodua, Rawang, baru-baru ini.
Selain daripada Perodua Myvi sebagai hadiah utama, Perodua turut menyerahkan 100 unit jam pintar P-Go kepada pemenang cabutan bertuah yang lain.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, penyertaan pihaknya di KLIMS 2025 mendapat maklum balas yang amat memberangsangkan dengan 37,786 pengunjung berdaftar .
“Pertandingan Cabutan Bertuah P-Circle ini juga menarik perhatian ramai generasi muda dan Nik Akmal Afifah adalah pemenang bertuah yang terpilih,” katanya.
Terdahulu, dalam acara KLIMS 2026, Perodua mempamerkan kereta konsep terbaharunya yang dinamakan Chapter 2 atau C2 yang mewakili gaya reka bentuk berbeza, dilengkapi dengan teknologi terbaharu serta dicipta oleh pereka muda dan berbakat yang mencerminkan visi mereka terhadap masa depan kenderaan elektrik.



