
KUALA PILAH - Barisan kepimpinan baharu Kerajaan Negeri Sembilan diingatkan supaya menjadikan kemelut politik yang berlaku sebelum ini sebagai pengajaran, selain memastikan setiap amanah dilaksanakan mengikut bidang kuasa ditetapkan.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertitah, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) perlu memahami batas tanggungjawab masing-masing dan tidak mengambil tindakan di luar kuasa diberikan.
Baginda menegaskan, sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan sehingga menjejaskan kestabilan negeri tidak seharusnya berulang.
“Beta tidak mahu kejadian seumpama ini berulang kerana ia boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan serta kelancaran pentadbiran kerajaan negeri,” titah baginda.
Peringatan itu disampaikan ketika Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Dalam titah sama, baginda menggesa setiap anggota Exco memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap portfolio masing-masing, selain menjalankan tugas berlandaskan integriti, profesionalisme dan kebijaksanaan.
Tuanku Muhriz turut mengingatkan, kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan dalam setiap keputusan pentadbiran, dengan kesejahteraan negeri sentiasa diberikan perhatian.
Mengulas pelantikan barisan baharu itu, baginda berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada wakil rakyat yang diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab berkenaan.
Titah baginda, jawatan tersebut bukan sekadar satu penghormatan, malah membawa amanah besar yang perlu dilaksanakan demi kepentingan negeri dan seluruh rakyat.
“Ambillah pengajaran daripada kontroversi terdahulu dan elakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan krisis serupa,” titah baginda.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Ismail Lasim kekal menerajui pentadbiran negeri sebagai Menteri Besar, manakala enam individu mengangkat sumpah sebagai anggota Exco baharu.
Pelantikan itu menyaksikan empat wakil Barisan Nasional (BN) dan dua daripada Perikatan Nasional (PN) mengisi barisan pentadbiran negeri.
BN diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir; ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil; serta ADUN Repah daripada MCA, Koh Kim Swee.
Dua wakil PN pula ialah ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria.
Sebelum ini, Tuanku Muhriz bertindak menarik balik kesemua 10 pelantikan Exco terdahulu pada 20 September.
Menurut kenyataan istana ketika itu, tindakan berkenaan dibuat selepas anggota Exco terbabit didapati melanggar sumpah jawatan masing-masing. - Getaran, 27 November 2026






