PH N. Sembilan junjung ketegasan Tuanku Muhriz, harap kemelut politik jadi pengajaran

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 5:54 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menjunjung kasih atas kebijaksanaan serta ketegasan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam menangani kemelut politik dan pentadbiran negeri.

Pentingnya semua pihak hormat kedudukan kuasa Tuanku Muhriz

Menerusi kenyataan Majlis Pimpinan Negeri PH Negeri Sembilan hari ini, gabungan itu menegaskan perkembangan terkini memperlihatkan betapa pentingnya semua pihak menghormati kedudukan serta kuasa Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

“Setelah hampir empat bulan negeri dibelenggu dengan pertikaian politik, keutamaan kini ialah memastikan segala titah tuanku dipatuhi dan pentadbiran negeri kembali berfungsi dengan teratur.
“Jangan sekali-kali perbuatan yang dianggap derhaka ini berulang, apatah lagi oleh mereka yang telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan institusi negeri dan mematuhi undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Mahu BN, PN jadikan kemelut politik sebagai pengajaran

Dalam pada itu, PH Negeri Sembilan turut mengingatkan seluruh kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) supaya menjadikan perkembangan tersebut sebagai pengajaran.

Gabungan itu menyeru agar semua pihak menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar, akur kepada titah baginda serta kembali memberikan tumpuan kepada tanggungjawab mentadbir negeri.

PH Negeri Sembilan turut menekankan kepentingan untuk menyegerakan pembentangan Belanjawan Negeri 2027, memastikan pertumbuhan ekonomi serta pelaksanaan segala inisiatif demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, kelewatan pembentangan belanjawan berkenaan boleh mengakibatkan gangguan peruntukan dan risiko terhentinya fungsi pentadbiran tertentu, sekali gus memberi kesan kepada rakyat yang tidak sepatutnya menjadi mangsa percaturan politik berpanjangan.

Enam Exco baharu angkat sumpah

Terdahulu, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Exco Negeri Sembilan yang baharu di hadapan Tuanku Muhriz dalam satu istiadat di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Mereka ialah Suhaimi Aini (Kota), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Ridzuan Ahmad (Gemas), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling) dan Koh Kim Swee (Repah).

Image from: PH N. Sembilan junjung ketegasan Tuanku Muhriz, harap kemelut politik jadi pengajaran

Foto: FB Dato’ Ismail bin Lasim

Pada istiadat berkenaan, Tuanku Muhriz turut mengingatkan barisan Exco baharu supaya memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta menjadikan segala peristiwa yang tercetus baru-baru ini sebagai pengajaran dalam melaksanakan amanah pentadbiran negeri.

Sumber: Facebook Kerajaan PH Negeri Sembilan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved