Fahami batas kuasa, jangan ulang kesilapan lalu – Tuanku Muhriz

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 12:20 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dilantik agar tidak bertindak di luar bidang kuasa dan tanggungjawab yang ditetapkan.

Menurut laporan Kosmo! Online, baginda mahu segala isu serta peristiwa yang berlaku sejak kebelakangan ini dijadikan iktibar bagi memastikan keharmonian dan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri terus terpelihara.

Tuanku Muhriz turut menekankan supaya setiap Exco memberikan fokus sepenuhnya kepada portfolio masing-masing dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

“Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.
“Tumpukan sepenuh perhatian kepada portfolio yang diamanahkan dan laksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.
“Beta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

Image from: Fahami batas kuasa, jangan ulang kesilapan lalu – Tuanku Muhriz

Foto: Kosmo! Online

Dalam titah sama, Tuanku Muhriz turut mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat yang diberi kepercayaan untuk menganggotai barisan Exco kerajaan negeri.

Baginda menegaskan bahawa pelantikan berkenaan bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya hadir bersama amanah dan tanggungjawab besar terhadap negeri serta rakyat.

Justeru, setiap Exco diseru untuk menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, selain menggalas tanggungjawab secara profesional dan berintegriti.

Baginda turut mahu setiap keputusan yang diambil berpaksikan kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat.

“Beta mendoakan agar Allah S.W.T. sentiasa memberikan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan kepada Menteri Besar serta seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera, demi kepentingan seluruh rakyat,” titah baginda.

Turut berangkat menyaksikan istiadat berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

Sumber: Kosmo! Online (Nor Ainna Hamzah)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved