“Tudung ditarik, patah tulang rusuk” – Peguam ADALAH Tak Dibenar Jumpa Aktivis, Ramai Dikasari

WorldPolitics
21 May 2026 • 3:13 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

aktivis dikasari israel ADALAH

Tentera rejim Zionis didakwa telah menghalang peguam daripada Pusat Undang-undang Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) untuk bertemu dengan semua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan secara tidak sah.

ADALAH mendedahkan para aktivis yang ditahan telah dikasari dengan menggunakan senjata renjat elektrik atau taser secara kerap selain ada yang mengalami patah tulang rusuk dan sukar bernafas ekoran kezaliman pihak berkuasa Israel.

Pihaknya juga mengesahkan kesemua tahanan kini melalui proses awal imigresen Israel dan hampir kesemuanya dipindahkan ke Penjara Ktziot.

“Para peguam turut mendokumentasikan puluhan peserta dipercayai mengalami patah tulang rusuk serta kesukaran bernafas.

“Laporan juga menyatakan penggunaan senjata renjat elektrik (taser) secara kerap terhadap peserta, selain kecederaan akibat peluru getah semasa pemintasan bot flotila dan ketika mereka dipindahkan ke kapal tentera,” kata ADALAH.

 

View on Threads

 

Dipaksa jalan membongkok, tudung ditarik

Bukan itu sahaja, pihaknya menerima banyak laporan ramai sukarelawan mengalami keganasan melampau di atas kapal serta sepanjang proses pemindahan dari bot ke pelabuhan.

“Mereka dipaksa berjalan dalam keadaan membongkok sepenuhnya sambil pengawal menekan belakang mereka secara kasar. Peserta juga dipaksa duduk melutut dalam bot untuk tempoh yang lama,” katanya.

Jelasnya, kecederaan tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya tiga aktivis dimasukkan ke hospital.

“Selain penderaan fizikal tersebut, peserta turut mengalami penghinaan teruk termasuk gangguan seksual dan penghinaan maruah.

“Beberapa peserta wanita juga dilaporkan direntap tudung mereka oleh pihak berkuasa Israel,” kata ADALAH.

Sementara ADALAH memantau rapat situasi tersebut, pihaknya juga terus mendesak supaya semua peserta flotila yang ditahan secara tidak sah dibebaskan segera tanpa syarat.

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.