Tujuh halaman, tapi soalan asas masih belum dijawab MB – Tengku Zafrul

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 6:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tujuh halaman, tapi soalan asas masih belum dijawab MB – Tengku Zafrul

PETALING JAYA – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim digesa menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku sehingga pendiriannya berhubung Surat Cara Proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berubah.

Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kenyataan tujuh halaman dikeluarkan Ismail hari ini panjang menyentuh soal adat, Perlembagaan, mandat rakyat dan bidang kuasa, namun persoalan paling asas mengenai pendiriannya sendiri masih belum dijawab.

Menerusi hantaran di Instagram, Tengku Zafrul berkata, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos lalu sebelum menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan penurunan takhta baginda sehari kemudian.

“Namun lebih sebulan selepas tandatangan itu, pada 6 September, Ismail masih menyatakan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Pada 9 September, dia berkata tandatangan pada proklamasi itu dibuat tanpa rela hati dan secara paksaan. Dia juga membuat laporan polis,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan negeri ketika itu turut berpendirian bahawa proklamasi berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan.

Bagaimanapun katanya, pada 15 September, mesyuarat Exco yang dipengerusikan Ismail kemudiannya dikatakan membuat keputusan sebulat suara bahawa proklamasi tersebut sah dan berkuat kuasa.

“Betulkah anda dipaksa menandatangani proklamasi pada 3 Ogos? Jika benar, siapa yang memaksa anda?

“Jika pada 6 September anda masih menyatakan sokongan penuh dan taat setia kepada Tuanku Muhriz, dan pada 9 September mendakwa proklamasi itu ditandatangani secara paksaan, apa yang berubah sehingga Exco pada 15 September mengambil pendirian bahawa proklamasi itu sah?” soalnya.

Tengku Zafrul turut mempersoalkan sama ada perubahan pendirian berkenaan berpunca daripada sebarang tekanan serta pihak yang ditemui Ismail dalam tempoh tersebut.

Katanya, perkara itu bukan persoalan kecil apabila seorang Menteri Besar mendakwa dipaksa menandatangani dokumen berkaitan kedudukan Raja, membuat laporan polis dan secara terbuka menyatakan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz.

“Tidak sampai 10 hari kemudian, kerajaan yang dipengerusikannya mengesahkan proklamasi itu dan meminta proses pewartaannya diteruskan. Apa yang sebenarnya berubah antara 9 dan 15 September?

“Datuk Ismail, apa yang sebenarnya berubah?” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tujuh halaman, tapi soalan asas masih belum dijawab MB – Tengku Zafrul appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved