
JOHOR BAHRU: Tujuh warganegara China termasuk tiga pelajar didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan terlibat penipuan pelaburan matawang kripto yang tidak wujud, awal bulan ini.
Tertuduh, Hong Wei Xian, 25; Zhou Fu, 22; Chen Lu, 23; Yuan Shuping, 29; Li Yi, 30; Wang Tengfei, 30; dan Chen Xiaojia, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua lelaki berkenaan didakwa bersetuju antara satu sama lain bagi melakukan pakatan jahat jenayah yang menyalahi undang-undang iaitu dengan membuat penipuan pelaburan matawang kripto yang tidak wujud di dua unit kediaman di Forest City di sini kira-kira pukul 12 tengah hari, 1 Oktober lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 417 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin tempatan bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Lim Tyng Chieh yang mewakili Shuping, Yi, Tengfei dan Xiaojia memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan kesemua anak guamnya merupakan kontraktor bebas dan mempunyai alamat tetap di Forest City.
Sementara itu, peguam Pang Yong Tong yang mewakili Wei Xian, Fu dan Lu turut memohon jaminan rendah memandangkan ketiga-tiga anak guamnya masih berstatus pelajar serta menetap di Forest City.
Atifah Hazimah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin tempatan bagi setiap tertuduh, serta tarikh 11 November depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Dalam pada itu, di mahkamah sama, Wei Xian sebagai seorang bukan warganegara malaysia turut tidak mengaku salah atas pertuduhan tidak memiliki pas sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.
Lelaki itu didapati telah melanggar peruntukan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 (Akta 155) dan telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6(3) akta yang sama.
Wei Xian boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, dan boleh juga dikenakan sebat tidak lebih enam sebatan, jika disabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan dua penjamin.
Manakala di Mahkamah Majistret berasingan, Fu dan Lu turut dihadapkan atas pertuduhan sama mengikut Akta Imigresen.
Majistret A. Shaarmini menetapkan 2 November ini bagi permohonan semula jaminan sementara menunggu pengesahan dokumen perjalanan kedua-dua tertuduh daripada pihak pendakwaan.-UTUSAN
The post Tujuh warga China didakwa terlibat penipuan pelaburan kripto appeared first on Utusan Malaysia.


