
JOHOR BAHRU – Tujuh warga China termasuk tiga pelajar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berpakat melakukan penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud, awal bulan ini.
Kesemua tertuduh, Hong Wei Xian, 25; Zhou Fu, 22; Chen Lu, 23; Yuan Shuping, 29; Li Yi, 30; Wang Tengfei, 30; dan Chen Xiaojia, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berpakat melakukan konspirasi jenayah dengan memperdaya pihak lain melalui pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua unit kediaman di Forest City di sini kira-kira pukul 12 tengah hari pada 1 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin tempatan.
Atifah Hazimah menetapkan 11 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Wei Xian turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa memiliki pas yang sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain sebatan tidak melebihi enam kali.
Mahkamah membenarkan Wei Xian diikat jamin RM9,000 dengan dua penjamin.
Sementara itu, Zhou Fu dan Chen Lu turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan di bawah Akta Imigresen.
Majistret A. Shaarmini menetapkan 2 November ini bagi permohonan semula jaminan sementara menunggu pengesahan dokumen perjalanan kedua-dua tertuduh daripada pihak pendakwaan.-KOSMO! ONLINE
The post Tujuh warga China didakwa tipu pelaburan kripto palsu appeared first on Kosmo Online.






