
PASIR MAS – Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang merupakan rakan sekerjanya di sebuah premis menjual ayam goreng dekat Tumpat baru-baru ini.
Tertuduh, Muhammad Fakhrullah Md. Nor, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut kelima-lima pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tujuh bulan ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis menjual ayam goreng di Tumpat dekat sini kira-kira pukul 6.10 petang hingga 7 malam pada 5 dan 13 Jun selain 2, 3 dan 15 Julai 2026.
Kelima-lima pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha mencadangkan jaminan RM50,000 untuk kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Tertuduh dalam rayuannya memohon belas kasihan mahkamah agar jumlah ikat jamin tersebut dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM16,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Tertuduh tidak membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE
The post Tukang masak didakwa ‘sentuh’ rakan sekerja di premis jual ayam goreng appeared first on Kosmo Digital.





