
PUTRAJAYA – Kelab Media Putrajaya (KMP) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Putrajaya susulan tindakan sebuah akaun media sosial mengubah imej jurugambar dan wartawan menjadi lembu ketika menjalankan tugas membuat liputan kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusara Negara semalam.
KMP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius janaan imej itu dan mengecam tindakan pemilik akaun media sosial berkenaan.
“Lebih mengecewakan, imej tersebut disertakan dengan kapsyen ‘Akal waras semakin sukar ditemui’ yang dilihat sebagai penghinaan terhadap petugas media yang sedang melaksanakan tanggungjawab profesional.
“KMP ingin menegaskan petugas media tidak menerima sebarang pemakluman rasmi mengenai sekatan atau larangan rakaman daripada pejabat Tun Dr. Mahathir dan keluarga di lokasi berkenaan,” katanya hari ini.

Tambah KMP, pengamal media yang bertugas sentiasa memahami etika kewartawanan serta menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga, khususnya ketika membuat liputan dalam suasana dukacita.
“Kehadiran petugas media adalah sebahagian daripada tanggungjawab untuk mendokumentasikan peristiwa penting buat masyarakat dan negara.
“KMP memahami hak setiap individu untuk mengkritik namun, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merendahkan atau menghina petugas media,” katanya.
Jelas KMP, sebarang teguran hendaklah dibuat berdasarkan fakta dan konteks sebenar sesuatu kejadian.
“Tindakan mengubah imej petugas media menjadi haiwan adalah sesuatu yang biadap, tidak beretika dan tidak bertanggungjawab,” jelasnya.
Satu laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dibuat KMP agar tindakan sewajarnya diambil terhadap pemilik akaun berkenaan.
“KMP akan terus mempertahankan maruah, keselamatan dan hak warga media untuk menjalankan tugas secara profesional tanpa penghinaan atau serangan peribadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tukar muka media jadi lembu, KMP buat laporan polis appeared first on Kosmo Online.





