Gambar petugas media diubah seperti haiwan, polis buka kertas siasatan

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 4:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gambar petugas media diubah seperti haiwan, polis buka kertas siasatan

Image from: Gambar petugas media diubah seperti haiwan, polis buka kertas siasatan

PUTRAJAYA: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan sebuah akaun media sosial yang didakwa menghina sekumpulan petugas media yang sedang menjalankan liputan menggunakan imej janaan kecerdasan buatan (AI) menyerupai lembu.

Siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima daripada Kelab Media Putrajaya (KMP) hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed mengesahkan perkara berkenaan ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

“(Siasatan) Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Terdahulu, KMP membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, selain mengemukakan aduan secara dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

Tindakan itu susulan janaan sekeping gambar memaparkan petugas media yang telah diubah menjadi seperti haiwan dan dimuat naik menerusi sebuah akaun media sosial.

Dipercayai gambar asal itu dirakam ketika sekumpulan jurugambar dan wartawan sedang menjalankan liputan ziarah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara isterinya, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Putrajaya.

Imej berkenaan turut disertakan dengan kapsyen ‘Akal waras semakin sukar ditemui’ yang didakwa menghina petugas media ketika mereka sedang melaksanakan tanggungjawab secara profesional.

Dalam kenyataan, KMP memandang serius tindakan berkenaan dan menegaskan pengamal media yang bertugas sentiasa memahami etika kewartawanan serta menghormati nilai kemanusiaan, privasi dan sensitiviti keluarga.

KMP turut menegaskan tindakan terhadap pengamal media yang sedang menjalankan tugas secara profesional tidak seharusnya dipandang ringan, selain menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

The post Gambar petugas media diubah seperti haiwan, polis buka kertas siasatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved