Tukar MyKad generasi baharu, SARA tak terjejas

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 2:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tukar MyKad generasi baharu, SARA tak terjejas

PUTRAJAYA: Pemegang MyKad yang bertukar kepada MyKad generasi baharu tidak perlu bimbang kehilangan baki atau kelayakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kerana semua rekod berkenaan kekal dalam sistem SARA.

Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukadi berkata, baki dan kelayakan SARA tidak disimpan di dalam MyKad, sebaliknya direkodkan dalam sistem SARA.

“MyKad digunakan sebagai medium pengesahan penerima dan untuk membuat pembelian barangan keperluan asas di kedai atau pasar raya yang mengambil bahagian,” katanya berdasarkan soalan lazim (FAQ) untuk orang awam di sini, hari ini.

Jelasnya, pertukaran kepada MyKad generasi baharu tidak bermaksud baki atau kelayakan SARA akan hilang kerana rekod berkenaan akan terus dirujuk melalui sistem SARA.

Mengulas lanjut, Muhammad Asraf berkata, MyKad generasi baharu boleh digunakan bagi bantuan atau subsidi kerajaan yang menggunakan MyKad sebagai medium pengesahan atau penebusan, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan agensi berkenaan.

Selain itu, katanya, tidak semua pemegang MyKad sedia ada perlu menukar kad mereka kepada MyKad generasi baharu selagi kad berkenaan tidak rosak.

“Namun pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad tanpa imej bayang (ghost image) perlu menukar kepada MyKad generasi baharu,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, kemudahan Touch ‘n Go tidak lagi disediakan dalam MyKad generasi baharu dan pengguna yang ingin terus menggunakannya boleh menggunakan eWallet Touch ‘n Go atau kad Touch ‘n Go berasingan.

Pada 7 Mei lalu, media melaporkan pengenalan MyKad baharu yang bakal dilancarkan akan dilengkapi 53 ciri keselamatan termasuk imbasan kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan.-UTUSAN

The post Tukar MyKad generasi baharu, SARA tak terjejas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved