Tular aksi samun, suspek dicekup kurang 12 jam

9 Aug 2026 • 10:11 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tular aksi samun, suspek dicekup kurang 12 jam
Pada Sabtu, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergelutan, termasuk situasi suspek dipercayai cuba melarikan diri dari kediaman berkenaan.

IPOH - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun mendatangkan kecederaan di sebuah rumah di Taman Batu Gajah Perdana, Batu Gajah, pada Sabtu yang videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, suspek yang berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira jam 9.50 malam di tepi Jalan Kledang di sini hasil risikan yang dijalankan selepas kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.47 pagi ketika mangsa yang berusia sekitar 30-an bersama keluarganya pulang ke rumah sebelum mendapati suspek berada di dalam kediaman mereka.

"Pengadu cuba menahan suspek sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek mengambil sebatang playar dari dalam beg sandang dan menghayunkannya ke arah pengadu, namun terkena tangan kiri isteri pengadu sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek kemudian cuba melarikan diri menggunakan motosikal miliknya yang diletakkan di kawasan rumah mangsa, namun terjatuh sebelum meninggalkan motosikal serta beg sandang yang mengandungi peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

Pada Sabtu, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergelutan, termasuk situasi suspek dipercayai cuba melarikan diri dari kediaman berkenaan.

Sementara itu, Md Noor berkata, pemeriksaan di kediaman mangsa mendapati tiada barangan dilaporkan hilang, namun tombol pintu hadapan rumah rosak dipercayai akibat diumpil manakala bilik tidur utama dan almari didapati telah diselongkar dan berselerak.

Beliau berkata, mangsa dan isterinya telah dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved