
KUANTAN: Polis daerah ini menahan dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun yang disyaki terlibat dalam kes samun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di Kampung Darat Beserah di sini, 29 Julai lalu.
Tindakan remaja berkenaan sempat dirakam kamera litar tertutup sebelum rakaman berkenaan tular di media sosial sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak.
Menerusi video berdurasi kira-kira 40 saat itu, kelihatan seorang remaja lelaki berbaju hitam menumbuk lelaki OKU terbabit sehingga dia terjatuh dan suspek turut mengheret mangsa sebelum melarikan beg miliknya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, pihaknya berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira pukul 7 malam pada 30 Julai lalu.
“Tangkapan dibuat selepas serbuan di hadapan sebuah rumah di Lorong Pelindung Damai 6, hasil risikan dan maklumat yang diterima sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Polis Beserah.
“Semakan mendapati remaja berusia 17 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah selain masih dikehendaki bagi satu kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek berusia 16 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan. Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan, manakala kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.
Ashari berkata, polis memandang serius jenayah yang menyasarkan golongan rentan khususnya OKU dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan sedemikian. – UTUSAN
The post Dua remaja ditahan samun lelaki OKU appeared first on Utusan Malaysia.





