Polis tahan dua lelaki, bantu siasatan ugut guna parang atas jalan raya

3 Aug 2026 • 12:04 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis tahan dua lelaki, bantu siasatan ugut guna parang atas jalan raya

KULAI: Polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu insiden tular memaparkan seorang lelaki melibas parang terhadap sebuah kenderaan lain selepas tidak berpuas hati dikenakan lampu tinggi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kedua-dua suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 26 dan 30 itu ditahan di Forest City, Gelang Patah, malam semalam.

Katanya, penahanan kedua-dua suspek dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian pada pukul 8.04 pagi, semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 5.50 pagi semalam di jambatan bertingkat Senai menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini.

“Siasatan mendapati kejadian itu melibatkan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta. Ia berpunca akibat rasa tidak puas hati selepas pengadu memberi lampu tinggi secara berterusan berikutan tindakan suspek memotong masuk ke lorong kanan secara mengejut dengan kelajuan perlahan sehingga hampir melanggar kereta pengadu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Seng Lee, suspek bertindak menghentikan kenderaan selepas memotong kenderaan pengadu sebelum seorang suspek keluar kenderaan sambil memegang parang.

“Suspek menjerit sambil mengarahkan pengadu keluar kenderaan selain turut bertindak melibas parang berkenaan terhadap kenderaan pengadu sehingga meninggalkan kesan cat terkopek.

“Susulan itu, polis berjaya menahan dua daripada empat suspek yang dipercayai berada dalam kenderaan berkenaan pada pukul 7.10 malam, hari sama,” katanya.

Seng Lee turut memberitahu, pihaknya turut merampas kunci kereta, telefon bimbit, baju-T, seluar denim panjang, topi, parang berserta hulu berukuran 30 sentimeter dan sarung parang panjang yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Hasil ujian urin dibuat mendapati kedua-dua mereka negatif penyalahgunaan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN

The post Polis tahan dua lelaki, bantu siasatan ugut guna parang atas jalan raya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved