
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video memaparkan aktivis kemanusiaan, Tian Chua diarahkan keluar dari pusat beli-belah Suria KLCC oleh beberapa anggota keselamatan kerana sebatang kayu dan bendera Palestin.
Difahamkan, Tian Chua dan beberapa individu lain berada di dalam pusat beli-belah berkenaan selepas selesai menyertai perhimpunan aman solidariti Palestin dan demonstrasi anti-Trump di sekitar ibu kota pada Sabtu lalu (6 September).
Difahamkan pertelingkahan itu nyaris menyebabkan pergelutan dan menerusi video, ia dikatakan berpunca dari kayu yang menjadi tiang bendera berkenaan.
Malah di dalam video kedengaran pengawal keselamatan ada menyebut, “Bukan bendera (Palestin), boleh ambil, cuma kayu sahaja.”
Pun begitu kenyataan pada video mendakwa insiden berlaku kerana peserta yang baru habis demonstasi dihalau keluar kerana “membawa plakad bermesej Pro Palestin dan Anti Zionis.”
@protestguy Selepas protes ‘Trump Dont Come’ diadakan semalam (6 September 2025), beberapa aktivis Palestin telah masuk ke dalam Suria KLCC untuk solat, makan dan menggunakan LRT. Namun adalah amat mendukacitakan apabila pihak @suriaklccmall telah menghalang masuk serta menghalau aktivis yang membawa bendera Palestin, serta plakad-plakad bermesej Pro Palestin dan anti Zionis, anti Israel. Salah seorang aktivis tersebut ialah YB Tian Chua. Lihatlah bagaimana pihak @suriaklccmall bertindak mengasari beliau yang merupakan warga emas berumur 62 tahun, sedangkan perkara seperti ini boleh dibawa berbincang secara elok. Sekiranya alasannya ialah ‘kayu’ tidak dibenarkan, kenapa aktivis lain juga telah dihalau walaupun mereka hanya membawa plakad? Hal ini membawa persoalan, adakah @suriaklccmall sebuah kompleks membeli belah betul-betul di bawah Menara Berkembar KLCC, bangunan kebanggaan Malaysia, yang mana merupakan salah sebuah negara yang lantang memperjuangkan hak Palestin, sebenarnya berpendirian Pro Zionis? Kami menuntut @suriaklccmall untuk memohon maaf serta menyatakan pendirian mereka terhadap isu Palestin sebelum gerakan boikot kepada mereka dijalankan! Kredit video: @wfatinsuryanie ♬ original sound – Malaysian_Protest_4_Palestine – Malaysian Protest 4 Palestine
Bagaimanapun, pihak pengurusan Suria KLCC menerusi satu kenyataan semalam (7 September) menjelaskan bahawa pengunjung terbabit hanya tidak dibenarkan membawa masuk sebatang kayu panjang dan tindakan anggota keselamatannya itu adalah selaras dengan prosedur keselamatan yang perlu dipatuhi semua pengunjung tanpa pengecualian.
Menurut Suria KLCC, keselamatan dan kesejahteraan komuniti menjadi keutamaan mereka justeru pihaknya amat menghargai kerjasama orang ramai dalam usaha untuk “mengekalkan persekitaran yang selamat dan teratur untuk semua.”

Tian Chua dakwa kenyataan Suria KLCC mengandungi beberapa perkara tidak tepat
Terbaharu, Tian Chua menerusi satu kenyataan hari ini (8 September) mendakwa kenyataan akhbar pihak pengurusan Suria KLCC mengandungi beberapa perkara yang tidak tepat berhubung insiden tular yang berlaku itu.
“Perarakan Palestin tamat di Esplanade, Taman KLCC, sekitar jam 7.00 malam. Ketika para peserta bersurai, beberapa puluhan individu cuba memasuki Suria KLCC. Mereka mempunyai tujuan masing-masing (untuk ke tandas, makan dan beli-belah).
“Malangnya kemasukan mereka ke KLCC telah dihalang oleh pegawai keselamatan, yang menyatakan bahawa sesiapa yang memakai lencana, keffiyeh, atau membawa plakad dan bendera tidak dibenarkan masuk,” katanya.
Tian Chua dakwa simbol-simbol berkaitan Palestin tidak dibenarkan dibawa masuk dalam Suria KLCC
Dakwa bekas Ahli Parlimen Batu itu, pegawai keselamatan menegaskan bahawa simbol-simbol berkaitan Palestin tidak dibenarkan di dalam pusat beli-belah.
“Seorang pegawai keselamatan mengarahkan rakan-rakannya merampas sebatang bendera Palestin daripada seorang wanita yang menuju ke tandas.
“Saya membantah keras, menegaskan bahawa pegawai keselamatan tidak mempunyai hak undang-undang untuk merampas barangan peribadi,” katanya lagi.
Dakwa mahu bawa bendera Palestin keluar namun tetap ingin dirampas pengawal keselamatan
Menurutnya lagi, beliau kemudiannya mengambil bendera tersebut dan menyatakan bahawa dirinya sendiri akan membawanya keluar dan tidak mahu menyerahkannya kepada pihak keselamatan.
“Pada ketika itu, beberapa lelaki mengelilingi saya dan cuba merampas bendera tersebut dengan paksa. Pertelingkahan berlarutan selama beberapa minit. Pegawai kemudiannya mendakwa bahawa kayu pemegang bendera adalah barang larangan.
“Bagi meredakan keadaan, saya mencadangkan agar bendera itu dipisahkan daripada kayunya, kayu diserahkan kepada mereka manakala bendera akan saya bawa keluar sendiri. Walaupun begitu, pegawai keselamatan sekali lagi cuba merampas bendera dengan paksa, malah menolak saya secara fizikal.
“Selepas beberapa minit pertengkaran, pegawai keselamatan akhirnya mengalah. Mereka menahan kayu pemegang, manakala saya keluar dari pusat beli-belah dengan membawa bendera tersebut,” ujarnya.
Penjelasan yang diberikan oleh Tian Chua itu jelas bertentangan dengan kenyataan daripada pihak Pengurusan Suria KLCC sebelum ini.
Tian Chua seru pihak Pengurusan Suria KLCC untuk jalankan siasatan
Sehubungan itu, Tian Chua menyeru pihak Pengurusan Suria KLCC untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus terhadap tindakan pegawai keselamatan terlibat.
Selain itu, beliau meminta pihak pengurusan menyemak semula serta memperbetulkan protokol keselamatan bagi memastikan amalan sewenang-wenangnya dan diskriminasi tidak berulang.
Beliau turut meminta pihak berkenaan mengemukakan permohonan maaf terbuka secara rasmi kepada peserta yang terjejas dan kepada orang awam.
Wanita kongsi insiden dari perspektifnya
Seorang pengguna Facebook turut berkongsi situasi yang berlaku dari sudut mereka. Dakwa Wan Fatin Suryanie, dia yang sebelum ini hanya berdiam diri kini nekad bersuara “untuk memperbetulkan keadaan.”
Jelas Wan Fatin, usai demonstrasi niat mereka masuk ke pusat beli belah itu hanyalah untuk membasuh muka, minum, dan menunaikan solat malah langsung tiada rancangan untuk mengadakan protes di Suria KLCC.
Namun dakwanya, cubaan mereka untuk masuk ketika membawa beberapa barangan seperti patung bayi, plakad , keffiyeh dan bendera Palestin yang bergulung kemudiannya dihalang oleh beberapa individu berbaju hitam dipercayai pengawal keselamatan.
Dakwanya lagi, pengawal itu asyik mengubah alasan, mula-mula tidak membenarkan patung bayi, kemudian plakad, kemudian mafla, dan akhirnya menghampiri rakannya yang membawa bendera yang digulung.
Itu yang menyebabkan Tian Chua tampil untuk membantu.
Dakwanya lagi, beberapa individu turut diperlakukan sedemikian rupa justeru dia mendesak Suria KLCC bertanggungjawab dengan memohon maaf “atas layanan kasar tersebut.”
Dalam pada itu, Kumpulan Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) Malaysia mengkritik Pengurusan Suria KLCC kerana menghalang beberapa peserta perhimpunan dari memasuki pusat beli-belah berkenaan.
“Melayan penunjuk perasaan yang menyokong perjuangan keadilan di Palestin dan menentang genosid di Gaza sebagai ancaman keselamatan yang berpotensi atau pembuat masalah, adalah lumrah di negara-negara pro-zionis.
“Tetapi ini, tidak sepatutnya berlaku di Malaysia, sebuah negara yang secara konsisten menyatakan sokongan padu demi kebebasan dan keadilan bagi rakyat Palestin.
“Tindakan kakitangan keselamatan Suria KLCC sememangnya memalukan dan mencemarkan imej global kerajaan sebagai pihak yang tegas memihak kepada Palestin,” kata BDS Malaysia.
Sehubungan itu, mereka turut menyuru pihak Pengurusan Suria KLCC untuk memohon maaf.



