![Image from: Tular Burung Merpati Masuk Berkeliaran Dalam Wad, Ini Penjelasan HTAR [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/burung-merpati-di-wad-HTAR-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular satu video di media sosial memaparkan beberapa ekor burung merpati yang dilihat memasuki sebuah wad di Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor.
Dalam video tersebut turut kelihatan burung merpati itu terbang berkeliaran di katil pesakit dan ada juga yang mematuk bekas makanan yang ditinggalkan di atas meja.
Ramai bimbang kerana najis burung merpati boleh undang penyakit, minta pihak hospital ambil tindakan
Perkara ini secara tidak langsung mengundang rasa bimbang orang ramai dan menyifatkan najis burung berkenaan adalah bahaya serta boleh mengundang kepada penyakit.
Tidak kurang ada yang meminta pihak hospital untuk mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.
View on Threads
HTAR jalankan langkah kawalan secara berkala, pemangkasan pokok dan pemantauan berterusan
Terbaharu HTAR tampil menjelaskan terdapat burung merpati serta gagak yang menjadikan kawasan pokok-pokok di sekitar kawasan hospital sebagai habitatnya.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan burung memasuki kawasan bangunan hospital secara tidak sengaja.
“Bagi menangani perkara tersebut, HTAR telah melaksanakan langkah kawalan secara berkala, termasuk pemangkasan pokok oleh syarikat konsesi serta pemantauan berterusan di kawasan wad dan bangunan hospital.
“Selain itu, HTAR turut mendapatkan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memperkukuhkan usaha mengawal gangguan burung di kawasan hospital,” jelasnya lagi.
Langkah bersesuaian akan dilakukan untuk kurangkan risiko insiden seumpamanya berulang
Menurut HTAR, pihaknya memandang serius isu tersebut serta komited dalam memastikan persekitaran hospital sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih dan kondusif untuk kesejahteraan pesakit, pelawat dan juga warga kerja hospital.
Justeru itu segala langkah yang bersesuaian akan dijalankan dari semasa ke semasa untuk mengurangkan risiko insiden seumpama berulang lagi.





