

Tular Dakwa Kena Tipu, Netizen Bersatu Bantu “Support” Beli Buah Tembikai Abang Ni
Lega hati seorang ejen buah yang didakwa menjadi mangsa penipuan selepas ribuan orang khususnya penduduk sekitar Temerloh berpusu-pusu membeli tembikainya
Memetik Sinar Harian, ejen itu didakwa telah mengalami kerugian hampir RM20,000 akibat ditipu oleh pembeli buah tersebut.
Ekoran muat naik hantaran adik ejen terbabit di Facebook miliknya pada Selasa, orang ramai dipercayai mula membanjiri gerai yang terletak berhampiran Taman Jaya 4 itu.
Hantaran itu dibuat bagi tujuan meminta sokongan masyarakat untuk membantu membeli kira-kira 24 tan metrik buah tembikai tersebut. Buah tembikai itu dijual pada harga RM10 untuk empat biji buah bagi saiz yang kecil.
Ejen yang bernama Mohd Shukri Abdul Mazak, 40, berkata dia terkejut apabila mendapati orang ramai mula membanjiri gerai jualannya seawal jam 10 pagi.
“Terima kasih atas sokongan padu orang ramai dan ini sangat membantu saya untuk menghabiskan jumlah buah yang ada.
“Saya sebenarnya kali pertama berdepan insiden sebegini selepas hampir 30 tahun dalam bidang ini.
“Pelanggan dari Melaka menempah tidak jadi mengambil buah yang saya ambil dari kebun di Bukit Ibam, Muadzam. Dengan alasan saiznya kecil sedangkan ini adalah gred C, (cuci mangkuk) memang begini,” dakwa beliau kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengakui kesilapan kerana tidak mengambil deposit daripada pelanggan
Dalam pada itu, Mohd Shukri juga mengakui kesilapannya kerana tidak mengambil deposit daripada pelanggan tersebut. Ini kerana, menurutnya beliau sudah beberapa kali berurusan dengan pelanggan tersebut.
“Pelanggan sebenarnya tempah untuk 10 tan metrik tembikai pada Ahad tapi kesilapan timbangan menyebabkan saya terpaksa mengambil hingga dua kali di kebun tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 24 tan.
“Pelanggan terbabit tidak jawab panggilan telefon, balas WhatsApp menyebabkan saya pula berhutang dengan pekebun itu hampir RM20,000.
“Saya sudah bayar sebanyak RM3,500 dan bakinya kira-kira RM16,000 perlu dijelaskan dan syukur jualan dan sokongan orang ramai hari ini (Selasa) banyak membantu,” ujar Mohd Shukri.

Sementara itu, seorang suri Rumah yang dikenali sebagai Siti Rahimah Manan, 42, berkata dia tidak mahu melepaskan peluang membeli buah tersebut selepas tular di laman sosial.
“Ada tengok dekat Facebook, jadinya saya datang ke sini datang nak dapatkan buah tembikai,” jelas wanita tersebut.
Seorang lagi pelanggan dikenali Yusran Mustafa, 44, berkata dia datang membeli buah tersebut kerana mahu memberikan sokongan kepada Mohd Shukri.
“Ini sebagai tanda sokongan orang Temerloh kepada beliau (Mohd Shukri) selain harga murah yang ditawarkan,” katanya yang bekerja sendiri itu.
Sumber: Sinar Harian
The post Tular Dakwa Kena Tipu, Netizen Bersatu Bantu “Support” Beli Buah Tembikai Abang Ni appeared first on Siakap Keli.


