
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular dakwaan seorang warga asing memiliki kad pengenalan berwarna biru yang dikhususkan untuk rakyat Malaysia.
Dakwa seorang wanita, warga asing tersebut yang merupakan seorang pesakit memakai purdah serta tidak memahami Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris selain turut memiliki pasport Malaysia.
Dalam satu lagi hantaran di Threads, seorang lelaki Bangladesh didakwa memiliki sebuah syarikat di Malaysia selain mempunyai MyKad.
JPN Sahkan Lelaki Bangladesh Telah Peroleh Kewarganegaraan Malaysia Pada Tahun Lalu Ikut Perundangan Negara
Terbaharu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil maklum mengenai penyebaran maklumat dan dakwaan di media sosial yang mempertikaikan kesahihan MyKad serta status kewarganegaraan dua individu yang menjadi perhatian masyarakat.
Bagi kes pertama, berdasarkan semakan rekod rasmi JPN, individu lelaki yang berasal dari Bangladesh telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2025, secara teratur dan mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
Jelas JPN, Individu terbabit juga merupakan suami kepada wanita warganegara Malaysia dan pemegang status Penduduk Tetap (PR) sejak tahun 2009.
JPN Sedang Jalankan Siasatan Terhadap Wanita Dipercayai Warga Pakistan Tular Miliki MyKad
Sementara itu, bagi kes kedua yang melibatkan seorang individu wanita yang didakwa warga Pakistan, JPN sedang menjalankan siasatan lanjut susulan aduan yang diterima.
“Penelitian sedang dilaksanakan berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan. Perkembangan lanjut berhubung kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“JPN memahami keraguan dan kebimbangan masyarakat berhubung isu yang dibangkitkan.”
Orang Ramai Dinasihat Terus Rujuk JPN Jika Ada Persoalan Berhubung Status Kewarganegaraan Seseorang
Justeru, orang ramai dinasihatkan mengemukakan pertanyaan atau aduan melalui saluran rasmi JPN sekiranya mempunyai keraguan atau menemui maklumat yang menimbulkan persoalan berkaitan status kewarganegaraan seseorang.
Hal ini bagi memastikan semakan sewajarnya dibuat tanpa mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial.
“JPN kekal komited dalam memastikan setiap urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.”
Terdahulu, seorang wanita yang merupakan pengguna Threads telah berkongsi dia menjumpai seorang pesakit yang dilihat seperti warga asing namun mempunyai kad pengenalan berwarna biru.
“Cuba periksa SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia) dan MySara wujud okay, SISPAA Jabatan Pendaftaran Negara dan imegresen: NFA (No Further Action) alasan bukti tak kukuh.
“Dah satu hal pula kita nak kena tangkap sendiri dan hantar ke imigresen ke macam mana?” soal wanita itu.
Apa yang lebih mendapat perhatian apabila pengguna Threads itu turut mempersoal maklumat kad pengenalan wanita terbabit yang disifatkan agak mengelirukan. Ini kerana pada kad tersebut, wanita itu direkodkan lahir pada tahun 2002 namun wajahnya dalam gambar pada MyKad kelihatan lebih tua.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Wanita Didakwa Warga Asing Miliki Kad Pengenalan Biru, Ada Yang Persoal Maklumat Pada MyKad






