Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Tular di media sosial mengenai status kewarganegaraan dua individu sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat. Susulan itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tampil memberikan penjelasan berhubung kedua-dua kes berkenaan.
JPN dalam satu kenyataan berkata, individu lelaki yang berasal dari Bangladesh itu telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui proses naturalisasi pada tahun 2025.
Menurut JPN, proses tersebut dilaksanakan secara teratur mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
“Bagi kes pertama, berdasarkan semakan rekod rasmi JPN, individu lelaki yang berasal dari Bangladesh berkenaan telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2025, secara teratur dan mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.”
JPN turut menjelaskan bahawa lelaki berkenaan merupakan suami kepada seorang wanita warganegara Malaysia dan telah memegang status Penduduk Tetap (PR) sejak tahun 2009.
Kes Wanita Yang Didakwa Warga Pakistan Masih Dalam Siasatan
Sementara itu, bagi kes kedua yang melibatkan seorang wanita yang didakwa warga Pakistan, JPN memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan susulan aduan yang diterima.
Menurut jabatan itu, penelitian sedang dilaksanakan berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan sebelum sebarang perkembangan lanjut dimaklumkan kepada orang ramai.
“Sementara itu, bagi kes kedua yang melibatkan seorang individu wanita yang didakwa warga Pakistan, JPN sedang menjalankan siasatan lanjut susulan aduan yang diterima.
“Penelitian sedang dilaksanakan berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan. Perkembangan lanjut berhubung kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.”
Orang Ramai Diminta Salurkan Aduan Melalui Saluran Rasmi JPN
Dalam pada itu, JPN meminta orang ramai yang mempunyai keraguan atau menemui maklumat yang menimbulkan persoalan berkaitan status kewarganegaraan seseorang digalakkan untuk mengemukakan pertanyaan atau aduan melalui saluran rasmi JPN.
Langkah itu bagi membolehkan semakan sewajarnya dibuat tanpa mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial.
JPN turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap urusan berkaitan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan dengan teliti serta berintegriti.
“JPN kekal komited dalam memastikan setiap urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.”
Sumber: Facebook Jabatan Pendaftaran Negara
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





