
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Baru-baru ini, tular di media sosial hantaran seorang pengguna Threads mengenai siri animasi yang ditayangkan di saluran TV2 milik stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menerusi hantaran berkenaan, pengguna itu mendakwa terdapat adegan yang memaparkan hubungan sejenis dalam siri tersebut yang tidak sesuai dipertontonkan kepada umum khususnya kanak-kanak.
Dakwa pengguna berkenaan, terdapat babak dua watak yang berjantina lelaki yang bercium antara satu sama lain.
Menerusi hantaran berkenaan, dia mempersoalkan bagaimana cerita tersebut boleh ditayangkan malah turut meminta agar RTM membuat tapisan terlebih dahulu sebelum menyiarkan rancangan tersebut.
Hantaran itu nyata mendapat perhatian ramai termasuk penceramah dan pendakwah bebas, PU Syed yang turut mahu RTM mengambil langkah sepatutnya.
View on Threads
Macam mana boleh terlepas cerita ini dalam RTM – Radio Televisyen Malaysia !?Tiada tapisan dahulukah?Pengaruh…
Posted by PU Syed on Sunday 16 November 2025
RTM Dakwa Tiada Adegan Yang Paparkan Hubungan Sejenis
Terbaharu, RTM dalam satu kenyataan di Facebook berkata pihaknya mengambil maklum isu yang sedang hangat diperkatakan.
Namun jelas RTM, tiada perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan sejenis dalam siri animasi berkenaan berdasarkan semakan yang telah dilakukan.
“RTM mengambil maklum beberapa pandangan berhubung kandungan siri animasi bertajuk ‘Santiago of the Seas’ episod 22 yang telah disiarkan pada 16 November (Ahad), pukul 10.00 pagi.
“Berdasarkan laporan Penilaian Kandungan dan semakan yang telah dilaksanakan, tiada perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, mahupun sebarang elemen yang menjurus ke arah itu,” jelas mereka.
Henti Siar Animasi Santiago Of The Seas Bagi Buat Penelitian Lanjut
Namun, bagi mengelakkan timbulnya keraguan dan menyentuh sensitiviti masyarakat, RTM menjelaskan pihaknya telah menghentikan animasi berkenaan bagi membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri berkenaan.
“RTM kekal komited untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran dan tidak menimbulkan kesenangan mana-mana pihak.
“Sehubungan itu, RTM memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menimbulkan spekulasi yang tiada wajar serta merujuk terus kepada RTM bagi mendapatkan maklumat lanjut,” tulis mereka lagi.
Kenyataan media berkenaan kandungan siri animasi “Santiago of the Seas”
Baca Artikel Berkaitan: Gara-gara Adegan Bercium Sesama Jenis, Tayangan Lightyear Diharamkan Di 14 Negara Termasuk Malaysia
Baca Artikel Berkaitan: Isu Pelakon Remaja Berlakon Drama Gay, JAKIM Akan Rujuk Pada SKMM

