Tular Gambar Lelaki Berpakaian Seragam Tentera Ditayang Dalam Kelab Malam

LocalPolitics
4 Jun 2025 • 3:24 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak semalam (3 Jun), tular di media sosial gambar yang memaparkan seorang lelaki lengkap berpakaian seragam tentera ditayangkan pada skrin gergasi dipercayai dalam sebuah kelab malam di Kuala Lumpur.

Gambar tersebut mula tular dan menjadi bualan ramai selepas ia dikongsikan di platform TikTok akaun @oke.kauk.

Dalam hantaran itu, tayangan tersebut dilakukan sempena sambutan ulang tahun yang pertama lelaki terbabit bersama kekasihnya.

Gambar ditayang di kelab malam berlatar belakang Logo Kor Jurutera

Menerusi hantaran di laman Facebook Khongsi Celita pula, gambar berkenaan dipercayai memaparkan latar belakang logo Kor Jurutera.

Menurut laman itu, hasil siasatan pihak berkuasa telah mengenal pasti individu berkenaan merupakan anggota tentera berpangkat prebet daripada sebuah kem di Kelantan.

Difahamkan, ketika kejadian, anggota tersebut sedang mengikuti satu kursus di sebuah institusi kejuruteraan tentera.

Anggota ditahan pada hari sama gambar dikesan

Dalam laporan sama, gambar tersebut dikesan kira-kira jam 8 malam pada 2 Jun lalu oleh pihak berkaitan sebelum anggota terbabit dikesan dan ditahan pada jam 11.30 malam hari sama.

Anggota terbabit kemudiannya dibawa untuk diambil keterangan dan membuat pengesahan tayangan gambar tersebut.

Menurut laporan itu lagi, hasil keterangan yang diambil, anggota tersebut mengesahkan bahawa individu di dalam gambar adalah dirinya dan tayangan tersebut dibuat kerana ulang tahun perkenalan dengan kekasih anggota.

Laporan sama turut menyebut hasil semakan dengan anggota terlibat mendapati ‘pasangannya’ adalah seorang lelaki yang telah menukar jantina kepada perempuan.

Difahamkan anggota berkenaan berada dalam cuti hujung minggu yang bermula dari 30 Mei hingga 2 Jun 2025 semasa kejadian tersebut.

Dalam proses siasatan, pihak berkuasa turut menyita sebuah telefon bimbit jenis iPhone 11 untuk membantu siasatan.

Pun begitu, setakat ini tidak dapat dipastikan kesahihan maklumat terbabit. Kami akan mengemaskini artikel ini sekiranya mendapat maklumat lanjut daripada pihak berkuasa.

Dalam satu lagi hantaran, pengguna TikTok itu turut memuat naik video yang memaparkan gambar dua lagi anggota tentera pada skrin utama kelab malam itu.

Source: