
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pemandu kereta Honda City yang dirakam memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan empat kenderaan lain di Kilometer 25, Jalan Seremban-Kuala Pilah semalam (22 Oktober) disahkan positif dadah.
Hasil ujian air kencing mendapati pemandu Honda City itu positif dadah jenis Methamphetamine dan polis juga menjumpai satu paket plastik mengandungi serbuk putih dan lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin.
Pemandu Honda City Teruskan Bawa Kereta Dengan Melulu Selepas Langgar Motosikal
Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, nahas kemalangan sekitar jam 7.45 pagi itu dipercayai berlaku ketika kereta tersebut dipandu lelaki warga tempatan berusia 39 tahun yang dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban.
“Siasatan mendapati pemandu terbabit memandu secara berbahaya sehingga melanggar belakang sebuah motosikal.
“Pemandu terbabit tidak memberhenti kereta, sebaliknya terus memandu secara melulu sebelum melanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan ketika melalui satu selekoh,” katanya.
3 Kenderaan Lain Tak Sempat Mengelak Honda City Yang Berpusing & Melintang Atas Jalan Raya
Jelas Alzafny, akibat pelanggaran tersebut, Honda City terbabit telah berpusing dan melintang di atas jalan.
Pada masa yang sama, sebuah kereta jenis Proton Exora, Honda CRV dan motosikal jenis Yamaha 135LC yang melalui laluan berkenaan kemudiannya tidak sempat mengelak lalu melanggar Honda City tersebut.
Pemandu Honda City Patah Tangan Kanan, Penunggang Motosikal Alami Kecederaan Ringan
Mengulas lanjut, beliau berkata pemandu Honda City mengalami kecederaan patah pada bahagian tangan kanan, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, mangsa-mangsa lain yang turut terlibat dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1)A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke mana-mana polis berhampiran bagi membantu siasatan.”
Honda City Dipandu Huyung-hayang Di Jalan Terachi, Rempuh Motosikal Sebelum Langgar Divider
Sebelum ini, tular beberapa video di laman Threads menunjukkan sebuah Honda City berwarna maroon bergerak dalam kelajuan tinggi dan terhuyung-hayang di sebuah jalan di Terachi, Kuala Pilah.
Dalam video sama, kelihatan pemandu seolah-olah gagal mengawal kenderaannya dan memandu dalam keadaan melulu sehingga memasuki arah bertentangan meskipun ada kenderaan lain di lorong tersebut.
Selepas seketika memandu secara berbahaya, Honda City itu kemudian merempuh pembahagi jalan (divider) di sebelah kirinya menyebabkan kereta itu berpusing lalu melanggar beberapa kenderaan lain di sekeliling termasuk kereta pemilik video dan juga sebuah kereta Honda CRV di jalan bertentangan.
Menurut seorang pengguna Threads yang mengakui anak kepada pemandu Honda CRV itu, pemandu Honda City itu sebenarnya baru sahaja terlibat dalam kes langgar lari bersama seorang pakcik yang menaiki motosikal.
Baca Artikel Berkaitan: “Sebelum Tu Dia Langgar Lari Motor” – Lelaki Pandu Honda City Secara Melulu & Sebabkan Kemalangan Undang Perhatian [Video]




![“Sebelum Tu Dia Langgar Lari Motor” – Lelaki Pandu Honda City Secara Melulu & Sebabkan Kemalangan Undang Perhatian [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/honda-city-huyung-hayang.jpeg?t=1792657697)
![[VIDEO] Pemandu huyung-hayang buat orang ‘nogori’ marah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-22-at-12.07.55-PM-1024x538.jpeg)