Tular Kereta Jabatan Memotong Di Garisan Berkembar, Anggota JPJ Digantung Tugas [Video]

LocalCars
10 Jul 2025 • 10:03 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap pengguna jalan raya seringkali diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Namun entah mengapa, ada segelintir individu dilihat gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan hingga boleh mengundang bahaya kepada pengguna lain.

Seperti semalam (9 Julai), tular di media sosial rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan sebuah kenderaan jabatan dipandu dalam keadaan berbahaya.

Menerusi video berdurasi 12 saat yang tular itu, kelihatan sebuah kereta jenis Honda CRV memotong sebuah treler di selekoh dan garisan berkembar (double line).

Tindakan itu nyaris menyebabkan kenderaan pemilik dashcam hampir dilanggar oleh kereta CR-V itu namun sempat dielak olehnya.

Anggota JPJ Pandu Secara Berbahaya Digantung Tugas

Terbaharu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil tindakan tegas serta-merta terhadap seorang anggota yang memandu kenderaan jabatan secara berbahaya di Simpang Pulai, Perak pada 9 Julai lalu.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, tindakan yang dikenakan termasuklah pengeluaran notis saman kepada anggota yang memandu kenderaan tersebut atas kesalahan memotong di garisan berkembar.

Tambah Aedy Fadly, pihaknya turut mengeluarkan larangan memandu kenderaan jabatan dan arahan menggantung tugas serta anggota terlibat ditempatkan ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai.

“JPJ juga telah mengambil langkah susulan dengan melaksanakan siasatan lanjut berkaitan kesalahan-kesalahan lain yang melibatkan anggota berkenaan untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Tidak Akan Berkompromi Dengan Pengguna Jalan Raya & Mahu Orang Awam Buat Aduan

Jelas Aedy Fadly lagi, pihaknya tidak akan berkomporomi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna jalan raya termasuklah anggota dan kakitangan JPJ sendiri yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Pada masa yang sama, dia turut menyeru orang awam untuk melaporkan aduan secara terus atau masa nyata sekiranya terdapat mana-mana pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang.

“Laporan boleh dibuat dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.

KENYATAAN MEDIA TINDAKAN BERHUBUNG VIDEO TULAR YANG MELIBATKAN KENDERAAN JABATAN PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA LIKE & SHARE #MALAYSIAMADANI #MOT #JPJMALAYSIA #JPJ #infoJPJ #ReformasiSinergiIntegriti

Posted by Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia on Wednesday 9 July 2025

Memotong Di Garisan Berkembar Boleh Didenda RM300

Sekadar info, memotong kenderaan lain di garisan berkembar adalah satu kesalahan.

Ia merupakan kesalahan di bawah Kaedah-kaedah Lalu Lintas 167/59 [Kaedah 12(3)(A)]. Pengguna boleh didenda maksimum RM300.

Lazimnya garisan kembar digunakan di kawasan seperti;

  • Bukit yang curam
  • Selekoh dengan sudut penglihatan yang sukar
  • Jalan raya yang sempit
  • Jalan raya yang sibuk

Mengapa anda dilarang memotong di garisan berkembar ? Memotong di garisan berkembar berisiko menyebabkan kemalangan,…

Posted by Polis Johor on Monday 12 October 2020

SEMBANG TRAFIK KESALAHAN MEMOTONG DI GARISAN BERKEMBAR Mana-mana pemandu yang bertindak memotong kenderaan hadapannya…

Posted by Polis Johor on Sunday 3 December 2017

Source: