Tekanan Kerja Digital & Penggunaan Media Sosial Berlebihan Boleh ‘Dera’ Jantung Golongan Muda – Pakar

Health & FitnessLifestyle
9 Jul 2025 • 2:27 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui penyakit jantung iskemik merupakan antara penyakit yang menjadi penyebab utama kematian di Malaysia.

Kebiasaannya, penyakit ini seringkali dikaitkan dengan golongan dewasa yang berusia 60-an ke atas.

Namun siapa sangka, golongan muda pada masa kini juga tidak terkecuali dari menghidap penyakit ini.

Manakan tidak, gaya hidup golongan ini seperti mesyuarat dalam talian tanpa henti, duduk depan komputer membuat kerja hingga lewat malam serta melayari media sosial merupakan antara tekanan digital yang boleh ‘mendera’ jantung individu.

Keletihan Mental Jadi Penyumbang Tekanan Jantung Serius

Menurut Pakar Kardiologi di Prince Court Medical Centre, Dr. Johan Rizwal Ismail, keletihan mental akibat penggunaan media sosial berlebihan atau beban kerja digital secara berterusan boleh menyumbang kepada tekanan jantung yang serius.

Jelasnya, punca utama kepada situasi ini adalah kurangnya tidur kerana sering terganggu akibat penggunaan skrin atau media sosial hingga lewat malam.

“Individu dewasa memerlukan sekurang-kurangnya enam jam tidur berkualiti setiap malam.

“Apabila tidur tidak mencukupi kerana aktiviti digital berlebihan, tubuh akan mengalami keradangan pada salur darah jantung,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Tambahnya, keadaan ini akan mengakibatkan degupan jantung meningkat melebihi 100 denyutan seminit tanpa disedari.

Ini sekaligus menyebabkan seseorang itu menjadi berdebar-debar (palpitasi jantung) serta mengalami tekanan darah tinggi yang merupakan antara simptom tekanan kronik dan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

image is not available

Penggunaan Skrin Berpanjangan Ada Kaitan Dengan Risiko Kesihatan

Kongsi Johan Rizwal lagi, hasil analisis dalam jurnal perubatan ScienceDirect menunjukkan terdapat hubungan jelas di antara penggunaan skrin untuk tempoh masa lama dengan peningkatan risiko kesihatan.

Sekiranya masa penggunaan skrin melebihi dua jam sehari, individu berisiko untuk mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung meningkat sehingga 20% atau 1 daripada 5 individu.

Ini kerana cahaya biru daripada skrin gajet menekan pengeluaran melatonin iaitu hormon yang bertanggungjawab mengawal kitaran tidur.

“Apabila tahap melatonin rendah, individu akan menghadapi kesukaran tidur atau mendapatkan tidur nyenyak.

“Dalam jangka masa panjang, kualiti tidur yang buruk boleh memberi kesan negatif kepada sistem saraf dan menyebabkan tekanan kronik, rangsangan berlebihan serta keradangan dalam badan,” jelasnya.

image is not available

Bukan itu sahaja, ada kajian menunjukkan kadar kematian meningkat sebanyak 56% bagi golongan individu yang tidak mendapat tidur mencukupi secara konsisten.

Ini kerana jelasnya, rehat merupakan perkara paling penting dalam penjagaan kesihatan fizikal dan mental.

Jika diabaikan akibat keletihan digital, ia boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan jantung.

Tanda Awal Jika Seseorang Dah Berada Di Zon Bahaya

Doktor perubatan itu turut berkongsi petanda awal jika seseorang itu telah masuk ke zon bahaya kesihatan jantung walaupun individu itu masih muda dan berada dalam keadaan sihat.

Antara simptom tersebut adalah sakit dada, berdebar-debar, berpeluh berlebihan dan sesak nafas.

Beliau sekaligus menasihatkan orang muda yang hidup dengan persekitaran tekanan tinggi atau yang sentiasa berada dalam talian agar lebih peka selain segera mendapatkan pemeriksaan perubatan.

“Seorang pesakit saya yang merupakan pempengaruh dan pengguna TikTok aktif turut mengalami simptom itu.

“Ditambah pula dengan gaya hidupnya yang mengambil kopi sebanyak dua hingga tiga cawan sehari serta pengambilan bahan perangsang (stimulant) untuk kekal bertenaga,” katanya.

Jelasnya lagi, simptom itu pula boleh memberi tekanan tambahan kepada sistem kardiovaskular jika disertai dengan pengambilan bahan seperti kafein atau bahan perangsang.

Gejala Serangan Jantung Berbeza Di Antara Lelaki & Wanita

Tambah beliau lagi, gejala serangan jantung dalam kalangan golongan muda khususnya lelaki dan wanita adalah berbeza.

Bagi lelaki, simptom akan kelihatan lebih jelas dan ketara seperti sakit dada, ketat dada atau tertekan dan sesak nafas.

Manakala bagi wanita pula, simptomnya pula kurang jelas seperti;

  • Keletihan melampau
  • Kurang bertenaga
  • Sakit perut
  • Kembung
  • Rasa seperti gastrik atau pedih ulu hati

“Gejala-gejala ini sering disalah anggap sebagai masalah pencernaan atau keletihan akibat tekanan.

“Namun, apabila ujian lanjut seperti ECG, tekanan jantung atau imbasan CT dilakukan, puncanya bukan sekadar refluks atau masalah penghadaman, tetapi sebenarnya salur arteri jantung yang semakin sempit,” katanya.

Cadang Kaedah 20-10 Untuk Masa Skrin Harian

Kongsi Johan Rizwal, kajian menunjukkan purata masa skrin di Malaysia adalah kira-kira lapan jam 13 minit sehari.

Ini bermaksud individu menghabiskan masa sekitar empat jam menggunakan telefon bimbit serta lebih kurang tiga jam bagi komputer.

Oleh itu, dia mencadangkan agar individu mengamalkan kaedah skrin sihat iaitu 20-10 bagi setiap 20 minit melihat skrin dan mengambil masa 10 minit untuk berehat dengan berdiri, berjalan serta melakukan regangan ringan.

Kaedah ini terbukti mengurangkan paras gula dalam darah sehingga 17% sekaligus memberi manfaat kepada kesihatan jantung dan metabolik.

image is not available

Lakukan Senaman Ringan & Banyakkan Pergerakkan

Malah, individu juga disarankan untuk melakukan senaman ringan ketika bekerja seperti burpees, lompat bintang atau tekan tubi.

Pergerakan sebegini mampu membantu peredaran darah, memperbaiki postur tubuh serta mengurangkan kesan fizikal yang terlalu lama.

Cara lain adalah dengan melakukan latihan pernafasan bagi membantu mengurangkan keradangan serta memberi ketenangan kepada jantung.

“Tarik nafas perlahan selama empat saat, kemudian tahan (tujuh saat) dan hembuskan (lapan saat) boleh menurunkan kadar degupan jantung sebanyak lima hingga tujuh denyutan per minit.

“Selain itu, adalah penting untuk minum air kosong mencukupi sepanjang hari bagi memastikan badan sentiasa terhidrat dan menyokong kesihatan kardiovaskular,” jelasnya.

image is not available

Amalkan Rutin Digital Sunset, Henti Guna Alat Peranti 1 Jam Sebelum Tidur

Seseorang itu turut disaran untuk mengamalkan rutin digital sunset iaitu menghentikan penggunaan alat peranti khususnya telefon pintar sekurang-kurangnya sejam sebelum tidur.

Langkah itu mampu melonjakkan penghasilan melatonin meningkat sebanyak tiga kali ganda sekaligus membantu meningkatan kualiti tidur dan mengurangkan keradangan.

“Akhir sekali, pesakit dinasihatkan untuk membuat penyesuaian dalam pemakanan dengan menambah pengambilan makanan tinggi serat serta memasukkan lebih banyak ikan dalam hidangan harian.

“Perubahan ini dapat membantu mengawal paras kolesterol dan menyokong kesihatan jantung secara keseluruhan,” jelasnya.

Guna Teknologi Dengan Bijak

Pada masa yang sama, Johan Rizwal meminta agar orang ramai menggunakan teknologi secara bijak dan seimbangkannya dengan gaya hidup sihat.

“Kita yang sepatutnya mengawal gajet, bukan gajet mengawal kita. Ingatlah, jantung ibarat bateri dan ia tidak boleh terus dicas atau digunakan secara berlebihan tanpa rehat serta penjagaan mencukupi,” jelasnya.

Source: