![Image from: Tular Lelaki Disyaki Curi Beg Jemaah Wanita Sedang Solat Di Masjid [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/Curi-beg-dekat-masjid-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perbuatan mencuri bukan sahaja berdosa bahkan boleh dikenakan tindakan undang-undang dan dihukum sekiranya sabit kesalahan.
Meskipun hukuman dilakukan kepada individu yang bersalah namun masih ada yang tegar melakukan perbuatan terkutuk ini malah ada yang sanggup melakukannya di dalam masjid.
Wanita dakwa beg tangan dibawa lari oleh seorang lelaki ketika solat di masjid di Melaka
Perkara sama turut dialami oleh seorang wanita apabila mendakwa beg tangannya dicuri oleh seorang lelaki sewaktu sedang solat di sebuah masjid di Melaka.
Menerusi muat naik di Threads, wanita dikenali sebagai Aina Jazlina memaklumkan insiden tersebut berlaku pada 4.57 petang, 6 Jun di Masjid Al-Rashidin Jelatang Alor Gajah, Melaka.
Dalam beg turut ada 2 buah telefon
Menurutnya pencuri tersebut melarikan beg miliknya yang mengandungi:
- Dua buah telefon bimbit
- Dompet
- Kunci kereta serta barangan lain.
“Dia bertindak melarikan beg tersebut sewaktu saya sedang sujud,” jelasnya.
Lelaki pakai baju biru dan seluar pendek bawa lari beg tangan ketika wanita sedang solat jemaah waktu Asar
Dalam video rakaman litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan, kelihatan lelaki yang memakai baju berwarna biru dan seluar pendek segera turun daripada tangga masjid sambil memegang sebuah beg berwarna coklat di tangannya.
Tidak lama kemudian kelihatan seorang wanita berlari cuba untuk mengejar lelaki terbabit.
Melihat di ruangan balas, Aina memaklumkan dia sudah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut dan menjelaskan beg tersebut diambil sewaktu dia sedang berjemaah di masjid berkenaan untuk solat Asar.
View on Threads
Minta orang ramai tularkan video supaya si pelaku ditangkap
Susulan daripada insiden tersebut, Aina turut meminta orang ramai menularkan video berkenaan agar si pelaku dapat ditangkap untuk tindakan lanjut.
Bahkan ada juga pengguna mendakwa mengenali si pelaku dan berharap dia akan ditahan dan dikenakan tindakan.
Polis buru lelaki curi beg milik penuntut universiti
Menurut Sinar Harian, pihak polis kini sedang memburu lelaki terbabit yang disyaki mencuri beg milik seorang penuntut universiti.
Jelas Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar insiden tersebut berlaku sekitar 4.45 petang di ruang solat wanita.
Namun ujarnya, mangsa yang berusia 19 tahun itu sedang solat bersendirian serta meletakkan beg terbabit di hadapan sejadah.
“Ketika bangun daripada sujud, mangsa ternampak seorang lelaki tidak dikenali memakai baju-T berwarna biru dan berseluar pendek hitam berada di hadapannya sebelum bertindak mengambil beg berkenaan.
“Suspek kemudian melarikan diri melalui pintu belakang ruang solat tersebut,” jelasnya lagi.
Kata Ahmad Abu Bakar laporan berhubung insiden itu telah dibuat oleh mangsa pada hari sama jam 6.24 petang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
“Identiti suspek telah dikenal pasti dan polis kini sedang giat mengesan serta memburunya bagi membantu siasatan.”
Berikut adalah komen netizen:
“Tak sangka ada pencuri, selalu saya solat situ”
![Image from: Tular Lelaki Disyaki Curi Beg Jemaah Wanita Sedang Solat Di Masjid [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/beg-tangan-kena-curi-dalam-masjid-di-melaka-1.jpg)
“Beg tangan awak ke sis. Saya simpati sangat-sangat. Macam tak percaya dia buat macam tu.”
![Image from: Tular Lelaki Disyaki Curi Beg Jemaah Wanita Sedang Solat Di Masjid [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/beg-tangan-kena-curi-dalam-masjid-di-melaka-2.jpg)
“Haih geram aku tengok muka perompak ni menyusahkan orang je lah! Semoga urusan awak dipermudahkan dan pencuri ni dapat tangkap segera”
![Image from: Tular Lelaki Disyaki Curi Beg Jemaah Wanita Sedang Solat Di Masjid [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/beg-tangan-kena-curi-dalam-masjid-di-melaka-3.jpg)






