![Tular Lelaki Pandu Kereta Ada Logo ‘Bomba Rescue’, Polis Dedah Pemandu Hidap Bipolar Disorder [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Individu-tular-bawa-kereta-dengan-pelekat-bomba-rescue.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial video yang memaparkan sebuah kereta jenis Proton Ertiga berwarna merah yang melanggar lampu merah sehingga nyaris merempuh beberapa buah kenderaan di hadapan Hotel AsiaGo, Sungai Petani, Kedah.
Apa yang menjadi perhatian adalah kereta terbabit turut mengandungi pelekat ‘BOMBA RESCUE’ serta mempunyai siren dan lampu mata arah (beacon light) yang tidak dibunyikan seperti seolah-olah seperti sedang dalam perjalanan mahu meneruskan tugasan kecemasan.
Hantaran itu nyata menarik perhatian sehingga ramai yang mengkritik tindakan individu terbabit serta mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadapnya.
Polis Dedah Lelaki Pandu Kereta Dengan Tulisan Bomba Rescue Hidap Bipolar Disorder
Terbaharu, polis mendedahkan lelaki tular yang memandu kenderaan persendirian menggunakan tulisan ‘Bomba’ itu dikenal pasti menghidap penyakit bipolar disorder atau gangguan kesihatan mental kira-kira sembilan tahun lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, hasil siasatan mendapati lelaki yang berusia 35 tahun itu dipercayai telah menangguhkan rawatan yang sepatutnya diambil sejak dua tahun lalu.
“Berikutan video tular tersebut, seorang ketua polis balai bomba Sungai Petani telah membuat aduan pada 27 Oktober lalu.
“Bertindak atas laporan ini, kita telah mengesan dan membuat penahanan di Bandar Puteri Jaya selain merampas sebuah kenderaan dipercayai milik mangsa dan beberapa barang kes lain,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Lelaki Ada Lesen Sah, Tidak Mempunyai Rekod Jenayah Lampau
Tambah Hanya, lelaki terbabit mempunyai lesen memandu yang sah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Malah, keputusan ujian saringan air kencing menunjukkan hasil negatif.
“Kita mohon reman pada pagi ini dan permohonan itu hanya dibenarkan selama sehari.
“Tangkapan ini dirawat dan ditahan di wad Hospital Sultan Abdul Halim di sini sehinggalah perkembangan siasatan lanjut.
“Saya juga ingin menasihati keluarga yang mempunyai individu menerima rawatan psikiatri agar memastikan mereka mematuhi jadual pemeriksaan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam,” jelasnya.
Tambah Hanyan, kes kini disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam.
Ia turut disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
JBPM Kedah Sahkan Kenderaan Tular Bukan Kenderaan Rasmi Jabatan Atau Pasukan Bomba Sukarela (PBS)
Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan kenderaan persendirian yang tular mempunyai pelekat ‘BOMBA’ serta dilengkapi dengan lampu amaran khas itu bukanlah kenderaan rasmi jabatan terbabit atau mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri itu.
Jelas mereka dalam satu kenyataan, pihaknya memandang serius isu terbabit iaitu pengggunaan identiti jabatan yang boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang awam selain boleh menjejaskan imej serta kredibiliti perkhidmatan badan beruniform itu.
Pada masa sama, JBPM sebelum ini turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai perkara itu.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan penyebaran maklumat berkaitan perkara ini tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” jelas mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Triton Pandu Melulu & Berbahaya Sudah Ditahan Reman, Rupanya Positif Dadah [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Siap Cucuk Kereta Depan! Toyota Supra Dipandu Melulu Sebelum Terbabas Masuk Longkang [Video]





