Tular Naik Skuter Eletrik Bertiga, JPJ Melaka Cari YouTuber [Video]

LocalPolitics
5 May 2025 • 5:50 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, tular di media sosial satu video memaparkan seorang YouTuber terkenal menunggang sebuah skuter elektrik yang diubahsuai sambil membawa dua lagi rakannya di Melaka.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @francis_lim86, kelihatan ketiga-tiga individu itu tidak memakai topi keledar motosikal, sebaliknya hanya menggunakan helmet basikal ketika sedang berhenti di sebuah kawasan persimpangan lampu isyarat.

Kejadian tular yang dipercayai berlaku di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) pada 2 Mei lalu itu telah mendapat perhatian ramai.

Perbuatan YouTuber terbabit naik e-skuter bertiga menyalahi undang-undang

Terbaharu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, perbuatan tiga individu itu adalah menyalahi undang-undang.

“Bukan sahaja melanggar undang-undang, bahkan ia boleh mendatangkan bahaya kepada si pelaku dan pengguna jalan raya yang lain.

“Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000, atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya memetik Malaysia Gazette.

Beberapa kenderaan mikromobiliti dilarang atas jalan raya

Menurutnya, melalui Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021 yang telah diwartakan dan berkuat kuasa pada 17 Disember 2021, penggunaan beberapa jenis kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya adalah dilarang.

“Ini termasuklah E-skuter, Hoverboard, Monowheel, Segway dan basikal elektrik tanpa kelulusan kerana kenderaan mikromobiliti hanya dibenarkan digunakan di kawasan yang dikhaskan seperti taman rekreasi, laluan khas atau kawasan persendirian sahaja dan bukan di atas jalan awam.

“JPJ memandang serius kesalahan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang ingkar,” katanya lagi.

Ada yang tak setuju tindakan YouTuber naik skuter elektrik diubahsuai bertiga

Terdahulu, penularan video terbabit telah mendapat perhatian ramai di mana ada segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh YouTuber terbabit.

Hal ini kerana skuter elektrik yang ditunggangi influencer itu tidak sepatutnya berada di atas jalan raya utama.

Tidak kurang juga yang berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap YouTuber itu atas kesalahan berkenaan.

Semakan kami di laman media sosial influencer berkenaan mendapati dia sekarang berada di Sabah.

Source: