![Image from: Tular Pemandu Rempuh 2 Kereta Ketika Lari Dari Polis, Rupanya Bawa Dadah [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/Pemandu-Bezza-ditahan-rempuh-2-kereta.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan dua buah kereta Perodua Bezza terbabit dalam kemalangan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Menerusi video tular itu, turut kelihatan kereta peronda polis (MPV) juga cuba mengejar kenderaan Perodua Bezza putih yang terbabit dalam kemalangan itu.
Polis kemudiannya menahan lelaki terbabit semalam (4 Mei) susulan insiden berkenaan.
Cuba larikan diri ketika pemeriksaan polis
Terbaharu media melaporkan lelaki yang memandu Bezza putih itu dipercayai cuba untuk melarikan diri dari pemeriksaan polis sebelum dia didapati memiliki dadah.
Sewaktu dikejar polis pemandu Bezza tersebut sebelum ditahan turut merempuh sebanyak dua buah kenderaan lain.
Jelas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa polis mengesan video yang tular di media sosial sekitar jam 10 pagi tadi (6 Mei).
Ujarnya, menerusi semakan dilakukan mendapati insiden tersebut berlaku sekitar jam 6.15 petang.
View on Threads
Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan seorang pemandu lelaki berusia 31 tahun yang memandu sebuah Perodua Bezza putih gagal berhenti selepas diarahkan pasukan MPV Ampang.
“Suspek kemudian bertindak melarikan diri sebelum dikejar pihak polis bermula dari kawasan Pandan Indah sehingga ke lokasi kejadian,” jelasnya, lapor Sinar Harian.
Langgar 2 kereta dekat lampu isyarat merah
Kata beliau lagi sewaktu pemandu Bezza putih itu tiba di Jalan Ampang, dia kemudian gagal mengawal kenderaan yang dipandu sebelum bertindak melanggar dua kereta yang ketika itu sedang berhenti di lampu isyarat merah.
“Kereta terlibat ialah sebuah Perodua Aruz dipandu wanita berusia 42 tahun dan sebuah lagi Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 35 tahun.
“Kemalangan melibatkan kerosakan pada kereta dan tiada kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana pihak.”
Pemandu itu kemudiannya ditahan di lokasi insiden oleh anggota polis MPV Ampang.
Dadah seberat 4.7 gram dijumpai, suspek positif dadah
Suspek disyaki terlibat dengan pemilikan dadah selepas polis menemui dadah jenis pil yaba seberat 4.7 gram dalam milikannya.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” ujarnya.
Lelaki itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk siasatan lanjut.
“Selain itu, Trafik Kuala Lumpur turut membuka siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala IPD Wangsa Maju menyiasat kes mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.”




