
PETALING JAYA – Premis yang menjalankan aktiviti penyembelihan ayam seperti dalam video tular baru-baru ini, didaftarkan atas nama entiti lain dan bukan milik Bhuiyen Sdn. Bhd.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, walau bagaimanapun, bekalan ayam hidup bagi aktiviti tersebut diperoleh daripada Bhuiyen Sdn. Bhd.
“Semakan turut mendapati premis dan produk ayam yang disembelih oleh syarikat berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jakim mahupun pihak berkuasa agama Islam negeri.
“Pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan telah diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 Oktober lalu, susulan pelanggaran aspek kesihatan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jakim turut mengemukakan permohonan kepada DBKL bagi mendapatkan pengesahan berhubung status lesen premis dan entiti yang menjalankan aktiviti pemprosesan ayam tersebut bagi melengkapkan penelitian serta tindakan susulan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“Jakim memandang serius sebarang aktiviti penyembelihan yang tidak mematuhi hukum syarak. Pematuhan terhadap hukum syarak dalam proses penyembelihan merupakan perkara asas yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebarang pelanggaran yang dikenal pasti akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Tambah beliau, Jakim akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memperkukuh pemantauan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap sebarang pelanggaran yang dikenal pasti.
Katanya, susulan penularan video aktiviti tersebut, tindakan risikan awal dan pemeriksaan di lokasi telah dilaksanakan oleh Jakim bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kesihatan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Selangor.
Terdahulu, Syarikat Bhuiyen Sdn. Bhd. tampil menafikan dakwaan berhubung isu tular video sembelih ayam yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan baru-baru ini.
Wakil syarikat tersebut, Zalinda Yacob dipetik berkata, pihaknya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan dakwaan fitnah terhadap syarikat dan perniagaan pasar raya berkenaan.
Sebelum ini, tular beberapa video yang meresahkan orang ramai khususnya umat Islam berikutan tindakan penyembelihan ayam yang meragukan.
Berdasarkan video itu, tiga lelaki dipercayai warga asing dilihat mengendalikan proses penyembelihan ayam, dengan dua daripadanya mengeluarkan ayam hidup daripada bakul sebelum seorang lagi menyembelihnya. – KOSMO! ONLINE
The post Tular sembelih ayam: Premis bukan milik Bhuiyen – Jakim appeared first on Kosmo Online.





