Tular Video Lelaki Dipukul Kerana Menjeling, 3 Rakan Didakwa Di Mahkamah

14 May 2026 • 3:40 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Tular Video Lelaki Dipukul Kerana Menjeling, 3 Rakan Didakwa Di Mahkamah

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kedai makan memaparkan tiga individu yang secara tiba-tiba menyerang seorang pelanggan lelaki sehingga cedera.

Dalam video itu, kelihatan salah seorang daripadanya turut membaling perkakas memasak dan barangan di kedai tersebut ke arah mangsa termasuklah sebuah cerek air serta kerusi.

Meskipun pelanggan tersebut sudah mengalami pendarahan di bahagian kepala, namun salah seorang daripada tiga (3) lelaki itu tetap terus memukul mangsa.

Media sebelum ini melaporkan mangsa menerima empat jahitan akibat serangan tersebut.

— MYNEWSHUB (@mynewshub) May 11, 2026

Tiga Lelaki Didakwa Kerana Pukul Pelanggan Hingga Cedera Parah

Terbaharu hari ini (14 Mei), tiga lelaki yang memukul seorang pelanggan di sebuah restoran Cina didakwa di Mahkamah Seysen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah.

Tukang kayu Wong Weng Luen, 49, juruteknik Lai Kae Bin, 33, dan pekerja pusat memorial Wan Ken Fei, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mereka bertiga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Andrew Teh Tiek Hua, 49, di sebuah restoran di Jalan Kepong, Metro Prima, Kuala Lumpur pada 2 pagi, 7 Mei lalu.

Tertuduh Berdepan Hukuman Penjara 20 Tahun

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh didenda atau dikenakan sebatan, jika didapati bersalah.

Memetik Harian Metro, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan terbabit adalah serius.

“Sekiranya jaminan diberikan kepada tertuduh, ada kemungkinan mereka akan melarikan diri dan mengganggu mangsa dalam kes ini,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, Peguam S. Narasimhan memohon mahkamah agar memberikan jaminan atas alasan anak guam telah memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa, selain mahkamah juga mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan.

Walaupun kes ini telah tular, namun tidak semestinya tertuduh tidak mendapat jaminan. Dalam kes ini, tertuduh sudah serah diri dan mereka perlu diberikan peluang untuk diikat jamin.

Peguam S. Narasimhan

Walau bagaimanapun, Noridah tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh dijamin dan menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen

Prosiding itu turut dihadiri peguam pemerhati bagi mangsa, Chia Hui Ming.