Tular Video Lori Pasir Lawan Arus Rempuh 2 Kereta, Rupanya Pemandu Bawah Pengaruh Alkohol

Entertainment
4 Jan 2023 • 10:47 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sejak akhir-akhir ini kalau kita perasan, banyak kemalangan jalan raya membabitkan lori atau treler yang didakwa berpunca daripada kecuaian pemandu serta masalah yang dihadapi kenderaan.

Baru-baru ini, tular sebuah video di Twitter memaparkan aksi berbahaya sebuah lori mengangkut pasir yang dilihat dibawa melawan arus dekat Kilometer 5.5 Lebuh Raya Linkedua berhampiran susur keluar ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri.

Lori bawa lawan arus, rempuh 2 kereta

Menerusi video itu, dapat dilihat lori berkenaan telah dibawa melawan arus dan seterusnya telah melanggar dua buah kereta dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4.30 petang.

Menurut Kosmo, pemandu yang berusia 41 tahun itu juga disyaki memandu lori berkenaan dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihak mereka menerima laporan berhubung sebuah video yang tular sebelum sepasukan anggota polis tiba di lokasi kemalangan.

Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol dikatakan dalam perjalanan dari arah Kulai menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Apabila sampai kawasan rehat dan rawat (R&R) Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu berkenaan telah terlepas susur keluar untuk ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Lelaki itu bertindak memandu secara melawan arus untuk memasuki susur berkenaan bertembung dengan dua buah kenderaan lain iaitu sebuah kereta jenis Mercedes Benz dan Nissan Almera,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available

Akibat kemalangan tersebut, pemandu Mercedes Benz yang dipercayai warga Singapura mengalami kecederaan di leher dan kaki serta telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

Suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol itu telah ditahan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.