JOHOR BAHRU - Video tular memaparkan pasangan suami isteri dipercayai membelasah dan menampar pembantu rumah mereka mengundang kecaman ramai.
Berdasarkan video berkenaan kejadian itu dilihat berlaku di kediaman majikan mangsa, dengan seorang lelaki dipercayai majikan dilihat menampar dan menumbuk wanita yang sedang duduk di kerusi.
Kemudian kedengaran suara wanita berkenaan menangis, namun lelaki berkenaan dilihat terus memukulnya dengan kasar.
Rata-rata pengguna media sosial di ruangan komen mengutuk perbuatan berkenaan yang disifatkan tidak berhati perut dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
Selain itu, pengguna media sosial mempersoalkan tindakan pasangan terbabit yang didakwa mengambil undang-undang di tangan sendiri.
"Jika pembantu rumah itu bersalah sekali pun, dia tidak sepatutnya dipukul seperti itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima maklumat berhubung video tular tersebut.
“Salam rakan-rakan media. Polis Johor telah menerima maklumat ini dan masih dalam proses risikan,” katanya ringkas.





