
Semalam, tular sebuah video di mana kelihatan beberapa kumpulan individu bertindak merusuh yang menyebabkan beberapa buah kereta telah rosak, video tersebut tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

Pun begitu, hari ini menurut laporan Kosmo!, 17 lelaki termasuk suspek utama yang terlibat dalam kejadian tersebut telah pun ditahan oleh pihak polis berdekatan sebuah premis di Jalan Abang Galau, Bintulu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata, tangkapan ke atas kesemua suspek itu dibuat dalam dua serbuan di sekitar daerah ini tidak sampai 24 jam selepas insiden tersebut berlaku.
“Tangkapan pertama melibatkan suspek utama berusia 37 tahun yang juga pemandu trak pikap yang kemudiannya membawa kepada tangkapan 16 individu lain.
Siasatan mendapati kesemua suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah. Mereka adalah lelaki tempatan berusia 24 hingga 38 tahun.” katanya.
Katanya lagi, tahanan reman ke atas suspek dibenarkan sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama.
Sebelum ini, tular video memaparkan pergaduhan di hadapan sebuah premis yang membabitkan insiden rempuhan melibatkan beberapa kenderaan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



