Tular Wanita Tak Puas Hati Kereta Ditarik, Polis Cari 3 Lelaki Angkat Pagar & Ceroboh Masuk Dalam Rumah [Video]

LocalCars
24 Oct 2024 • 10:25 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan tindakan seorang wanita meerosakan sebuah kenderaan dipercayai Honda City berwarna hijau di kediamannya.

Menerusi video tersebut wanita itu dilihat melakukan tindakan tersebut menggunakan batu dan menghentaknya ke atas cermin hadapan dan sisi.

Difahamkan wanita itu merosakkan kenderaan tersebut kerana ada ejen penarik kereta yang mahu menariknya disebabkan sudah beberapa bulan tidak dibayar kepada bank.

Namun dalam satu lagi hantaran yang tular di Facebook mendakwa kereta tersebut telah dibayar kepada pemilik asal namun ia tidak dijelaskan kepada bank.

Ini kerana kereta tersebut merupakan sebuah kereta ‘sambung bayar’ dan pemilik asal tidak bertanggungjawab untuk membuat pembayaran.

Polis kesan 3 individu dipercayai ceroboh masuk rumah untuk tarik kereta

Terbaharu, susulan daripada insiden di Meru, Klang tersebut polis kini mencari tiga lelaki yang dipercayai menceroboh masuk ke dalam kediaman berkenaan untuk menarik kenderaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao polis menerima laporan berhubung insiden terbabit dari seorang wanita pada jam 11.33 malam, 22 Oktober.

3 individu didakwa menceroboh ke dalam rumah & angkat pintu pagar untuk tarik kereta

Menerusi laporan itu, tiga lelaki yang menaiki sebuah lori towing telah mengangkat pagar dengan tujuan untuk menarik kereta milik pengadu yang mempunyai tunggakan bayaran sewa beli kereta.

Namun polis mengesahkan pihak ejen penarik kereta gagal menunjukkan surat tarik kenderaan dari bank.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta tersebut telah tertunggak bayaran bulanan lebih kurang 6 bulan.

“Walau bagaimanapun, suspek gagal menunjukkan surat tarik kereta daripada bank kepada pengadu serta telah menceroboh masuk ke dalam kawasan parkir di hadapan rumah dengan cara mengangkat pintu pagar,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan usaha untuk mengesan tiga individu itu sedang dilakukan.

Pihak polis dalam pada itu, menyeru agar tiada sebarang spekulasi mengelirukan dibuat oleh mana-mana pihak.

Source: