
Tidak dapat dinafikan, emosi adalah sesuatu yang sukar untuk dikawal, banyak perkara di luar jangkaan boleh terjadi apabila emosi itu tidak dijaga dengan betul.
Jumaat lalu, pihak polis telah menahan seorang remaja lelaki yang disyaki memukul ibunya hanya kerana tidak membersihkan rumah mereka di Kampung Perlindungan Sungai Way, Petaling Jaya.
Dalam laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid menyatakan wanita berusia 44 tahun itu cedera di muka dan badan akibat dibelasah anaknya itu.

Menurutnya, suspek berusia 19 tahun itu mengunci pintu hadapan dan melemparkan beberapa perhiasan rumah ke arah mangsa sepanjang pertengkaran itu.
“Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu bertindak menumbuk mangsa di bahagian muka dan memijak dada belah kiri.” katanya.
Polis menahan remaja itu sekitar jam 7.30 malam pada hari Isnin selepas menerima laporan daripada ibunya dan dia kini direman sehingga Sabtu ini (5 November) bagi membantu siasatan.
Mohamad Fakhruddin juga berkata, suspek didapati negatif dadah dan sedang dalam siasatan kerana mendatangkan bahaya menggunakan senjata atau objek berbahaya lain mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Beliau juga mengesahkan bahawa ini bukan kesalahan pertama suspek dan pasukannya sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai penyakit mental atau tidak.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

![“Hantar Blok I,” – Perbualan Antara Rider & Pelanggan Ini Buat Ramai Berdekah [Video]](https://cdn.newswav.com/img/web-revamp/broken-placeholder.png)