Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan terlalu banyak perkara pelik sedang berlaku di dunia termasuk Malaysia, yang menurutnya kebanyakannya tidak membawa kebaikan kepada umat manusia.
Pemimpin yang pelik memimpin banyak negara
Menerusi hantaran di Facebook, Dr Mahathir menyatakan keadaan dunia yang bergolak ketika ini menyukarkan beliau untuk mengulas satu persatu pelbagai kejadian yang berlaku.
Menurutnya, Malaysia juga tidak terlepas daripada perkara yang dianggapnya pelik, termasuk berkaitan keputusan dalam kes mahkamah.
“Dalam negara juga tidak banyak bezanya, terdapat banyak kes mahkamah. Keputusan yang pelik dibuat apabila orang yang melakukan kesalahan kecil dihukum, manakala mereka yang mencuri berjuta-juta dibebaskan dan dilantik ke jawatan tinggi.
“Pemimpin yang pelik memimpin banyak negara. Mereka juga membuat keputusan yang pelik.
“Begitulah keadaannya. Peristiwa berlaku tanpa henti namun, nampaknya tiada siapa yang mengambil berat,” ujarnya.
Peperangan tidak sepatutnya berlaku
Tambahnya, dunia turut menyaksikan peperangan yang tidak sepatutnya berlaku sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa, memusnahkan harta benda dan menyebabkan kerugian besar.
“Begitu juga sebuah negara diserang secara tiba-tiba dan pemimpinnya dibunuh sehingga mencetuskan peperangan.
“Kemudian negara yang menyerang melancarkan serangan bom dan roket, manakala negara yang diserang pula bertindak menyerang pangkalan milik pihak penyerang di beberapa negara,” ujarnya.
Ribuan orang terkorban, seluruh bandar musnah
Dr Mahathir turut menyentuh mengenai konflik di Gaza dengan mendakwa serangan serta kemusnahan masih berterusan walaupun ketika tempoh gencatan senjata.
“Sehingga kini kira-kira 73,000 rakyat Gaza telah terbunuh manakala seluruh bandar Gaza musnah dan menjadi runtuhan.
“Seluruh bandar Gaza telah musnah dan menjadi runtuhan. Namun, rakyat Gaza masih berusaha untuk menjalani kehidupan seperti biasa.
“Selain itu, terdapat peperangan antara Ukraine dan Rusia. Satu peperangan yang tidak masuk akal kerana Ukraine tidak mampu mengalahkan Rusia namun ribuan orang terkorban serta seluruh bandar musnah,” ulasnya.

Sumber: Facebook Dr Mahathir bin Mohamad





