
PUTRAJAYA – “Setiap kali habis tugasan, setiap hari beliau akan tanya kami, ‘Dah makan ke belum? Cukup rehat?.”
Demikian kata Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengimbas kenangan beliau bersama Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Beliau berkata, pertanyaan daripada Allahyarham itu disifatkan seperti seorang ibu sekali gus menunjukkan keprihatinan dan sikap mengambil beratnya kepada anggota keselamatan yang mengiringinya dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjalankan tugasan di luar negara.
“Bagi kami yang berada dalam pasukan keselamatan, beliau seperti seorang ibu. Saya sendiri meremang apabila mengenangkannya,” katanya ketika ditemui di Pusara Negara Presint 20, di sini hari ini.
Mohd Shuhaily yang juga bekas pegawai Cawangan Khas berkata, satu kenangan disifatkan cukup peribadi yang akan sentiasa diingatinya ialah ketika meraikan hari lahir bersama Tun Siti Hasmah di Baltimore, Amerika Syarikat sekitar 2012 atau 2013.
Katanya, kebetulan beliau dan Allahyarham berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu pada 12 Julai, malah Allahyarham turut mengingatinya ketika berada di sana.
“Saya berada di Baltimore ketika hari lahir kami dan tiba-tiba Tun teringat saya ada di situ. Beliau panggil saya dan berkata, ‘Shuhaily, your birthday sama dengan saya kan?’
“Saya jawab, ‘Ya, Tun’, kemudian beliau mengajak saya meraikannya bersama,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata, Tun Siti Hasmah kemudian meminta Dr. Mahathir berada di sebelah kanannya, manakala Allahyarham berdiri di sebelah kiri sebelum mereka bertiga memegang pisau dan memotong kek bersama-sama.
“Itulah kenangan yang tidak akan saya lupakan,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata, Tun Siti Hasmah kekal sebagai pendamping dan penyokong kuat Dr. Mahathir.
“Tun adalah penyokong kuat beliau. Pemergiannya satu kehilangan kepada negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tun Siti Hasmah seperti ibu – Mohd Shuhaily appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Gagal peperiksaan, Tun M tawar tuisyen percuma kepada Tun Siti Hasmah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-28-at-11.28.45-PM-1024x650.jpeg)




