Tunang Imamkan Jenazah Dinie Hanis, Impian Naik Pelamin Bersama Tak Tercapai

21 Jun 2026 • 1:31 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Hasrat sepasang kekasih yang bakal mendirikan rumah tangga minggu depan tidak kesampaian apabila wanita yang dinanti untuk bergelar isteri maut dalam kemalangan jalan raya bersama adiknya di Kilometer 24, Jalan Temerloh-Bandar Jengka berhampiran Felda Jengka 19 pada Jumaat.

Lagi beberapa hari bergelar suami isteri

Memetik laporan daripada Sinar Harian, tunang mangsa, Mohamad Alif Iskandar Azhar, 24, yang juga seorang anggota tentera terpaksa mengimamkan solat jenazah Allahyarhamah Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, selepas wanita itu disahkan meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Menurut Mohamad Alif Iskandar, mereka hanya tinggal beberapa hari sebelum disatukan sebagai suami isteri selepas tujuh tahun menjalinkan hubungan sejak zaman persekolahan.

“Kami sudah membuat bayaran untuk tempahan lokasi majlis di sebuah hotel di Temerloh, katering dan persalinan. Namun segala impian yang dibina sepanjang tujuh tahun perkenalan berakhir dengan cara yang tidak disangka.

“Walaupun masih terkejut dengan pemergiannya, saya reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian jenazah tunang dan bakal adik iparnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gau Baru.

Image from: Tunang Imamkan Jenazah Dinie Hanis, Impian Naik Pelamin Bersama Tak Tercapai

Semua sudah disiapkan

Dia  menyatakan, segala persiapan perkahwinan telah disiapkan sepenuhnya termasuk tempahan lokasi, katering dan pakaian untuk hari bahagia mereka.

Menurutnya, pasangan itu turut memilih tema pakaian berwarna putih sempena majlis perkahwinan yang dirancang berlangsung tidak lama lagi.

“Pilihan warna putih dibuat kerana sesuai dengan pakaian istiadat tentera yang akan saya pakai pada hari perkahwinan nanti.
“Semua yang kami rancang dan siapkan kini hanya tinggal kenangan,” katanya.

Mohamad Alif Iskandar turut berkongsi detik perbualan terakhir bersama tunangnya sebelum kejadian berlaku.

“Dia berpesan supaya saya berhati-hati ketika memandu sebelum menamatkan panggilan.
“Kami sepatutnya bertemu sebelum majlis berlangsung, namun panggilan yang saya terima daripada kakaknya petang semalam mengubah segalanya,” katanya.

Image from: Tunang Imamkan Jenazah Dinie Hanis, Impian Naik Pelamin Bersama Tak Tercapai

Tambahnya, beberapa hari sebelum kejadian mereka masih sibuk menyelesaikan persiapan akhir menjelang majlis perkahwinan yang dinantikan kedua-dua keluarga.

“Arwah sangat gembira kerana hubungan kami yang bermula sejak bangku sekolah akhirnya bakal disatukan dalam ikatan perkahwinan.
“Dia juga sangat teruja menjemput saudara-mara dan rakan-rakan untuk hadir ke majlis kami,” katanya.
Image from: Tunang Imamkan Jenazah Dinie Hanis, Impian Naik Pelamin Bersama Tak Tercapai

Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 malam Jumaat, Dinie Hanis dan adiknya, Dinie Nasuha, 19, maut selepas MPV Toyota Unser yang dinaiki mereka dalam perjalanan ke Bandar Jengka terbabit dalam kemalangan.

Siasatan awal polis mendapati kenderaan mangsa yang bergerak dari arah Temerloh menuju ke Bandar Jengka bertembung dengan sebuah Perodua Axia yang datang dari arah bertentangan.

Sumber: Sinar Harian (Nik Amirulmikmin Nik Min)

The post Tunang Imamkan Jenazah Dinie Hanis, Impian Naik Pelamin Bersama Tak Tercapai appeared first on Borak Daily.