Tune Protect jangka kekal untung FY2026 selepas keuntungan suku kedua melonjak 66.7%

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 2:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tune Protect jangka kekal untung FY2026 selepas keuntungan suku kedua melonjak 66.7% Image from: Tune Protect jangka kekal untung FY2026 selepas keuntungan suku kedua melonjak 66.7% johardy07/10/2026 - 14:30 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt - Tune Protect Group Berhad menjangkakan kekal mencatat keuntungan bagi tahun kewangan 2026 (FY2026) meskipun konflik di Timur Tengah menjejaskan perniagaan insurans perjalanannya, dengan keuntungan bersih suku kedua meningkat 66.7% berbanding suku sebelumnya kepada RM5.5 juta.

 

Prospek itu menyusuli pemulihan kukuh pada FY2025 apabila keuntungan bersih melonjak 46 kali ganda kepada RM26.45 juta daripada RM572,000 setahun sebelumnya, disokong pengoptimuman kos serta peralihan tumpuan kepada hasil dan margin berbanding mengejar pertumbuhan volum.

 

Bagaimanapun, momentum pemulihan itu perlahan pada separuh pertama 2026 apabila keuntungan bersih susut 39% kepada RM8.79 juta daripada RM14.4 juta setahun sebelumnya, manakala hasil turun 6.9% kepada RM162.89 juta daripada RM175.04 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, How Kim Lian berkata, konflik di Timur Tengah, perniagaan perjalanan yang lebih lemah, pendapatan pelaburan lebih rendah serta pergerakan pertukaran asing menyebabkan jangkaannya terhadap prestasi tahun ini menjadi lebih berhati-hati.

 

"Sebenarnya saya jauh lebih optimistik pada awal tahun sebelum tercetusnya konflik di Timur Tengah. Ketika itu, kami tidak melihat sebarang sebab mengapa kami tidak boleh mengatasi prestasi tahun sebelumnya pada FY2026," katanya dalam temu bual dengan The Edge Weekly.

 

Tune Protect turut memantau pengurangan kapasiti penerbangan yang boleh menjejaskan jualan insurans perjalanan. AirAsia Group Bhd mengumumkan rancangan mengurangkan kapasiti tempat duduk antara 20% hingga 25% tahun ke tahun pada suku ketiga 2026 susulan kos bahan api yang lebih tinggi.

 

Utamakan margin berbanding volum

Syarikat itu menyediakan insurans perjalanan menerusi rakan kongsi syarikat penerbangan termasuk AirAsia Group, Air Arabia, SalamAir, Vietjet Air dan Thai Vietjet Air, selain menyesuaikan harga produk mengikut pasaran bagi mencerminkan perbezaan keperluan pelanggan dan kesediaan mereka untuk membayar.


 

tune protect

 


How, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada Julai 2024 selepas sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, mengubah pendekatan Tune Protect daripada mengejar pertumbuhan pendapatan secara agresif.

 

Analisis terhadap portfolio insurans motornya mendapati kira-kira 35% daripada perniagaan itu menyumbang 60% daripada tuntutan dan kerugian, mendorong syarikat memberi tumpuan kepada segmen lebih menguntungkan.

 

Strategi itu menyebabkan premium bertulis kasar susut 3.7% pada FY2025 tetapi meningkatkan prestasi pengunderaitan. Nisbah gabungan Tune Protect bertambah baik kepada 90.5% daripada 99.2% pada FY2024 dan 102.4% pada FY2023.

 

Tune Protect kini menyusun perniagaannya berasaskan tiga teras iaitu insurans am, perniagaan antarabangsa dan "melangkaui insurans". Perniagaan antarabangsanya merangkumi 33 negara dan wilayah dengan 56 rakan kongsi insurans, menyediakan teknologi serta integrasi tanpa perlu mendapatkan lesen insurans di setiap pasaran.

 

Operasi antarabangsa itu hanya mempunyai kira-kira 20 pekerja berbanding sekitar 80% daripada lebih 450 pekerja kumpulan yang bertugas dalam perniagaan insurans am, namun kedua-dua perniagaan itu masing-masing lazimnya menyumbang antara 40% hingga 60% kepada keuntungan.

 

Jadi Insurtech Terbesar

Tune Protect menyasarkan untuk menjadi pemain teknologi insurans (insurtech) terbesar di Asia Tenggara berdasarkan saiz premium dalam tempoh lima tahun.

 

Kumpulan itu juga mempercepat kepelbagaian perniagaan melangkaui segmen perjalanan kepada telekomunikasi dan acara anjuran, selain mengembangkan perniagaan insurans am secara terpilih termasuk perlindungan kebakaran untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

How percaya pasaran masih belum mengiktiraf sepenuhnya nilai rangkaian insurtech antarabangsa Tune Protect kerana syarikat itu masih dinilai sebahagian besarnya sebagai syarikat insurans tradisional. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved