hamden29/09/2026 - 15:08 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Sept - Vantris Energy Bhd kembali mencatat keuntungan bersih RM75.3 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2026 (2QFY2027), berbanding kerugian bersih RM230.8 juta setahun sebelumnya, dibantu kerugian tukaran asing dan kos kewangan lebih rendah selepas penyempurnaan proses penstrukturan semula.
Syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd itu berkata, peningkatan tersebut turut mencerminkan ketiadaan tuntutan insurans yang menguntungkan yang direkodkan setahun sebelumnya, namun sebahagiannya diimbangi sumbangan lebih rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) serta penggerudian.
Hasil bagi suku berkenaan susut 23% kepada RM818.5 juta daripada RM1.06 bilion setahun sebelumnya. Tiada dividen diisytiharkan bagi suku berkenaan.
Secara suku ke suku, hasil meningkat hampir 27% daripada RM645.2 juta, manakala keuntungan bersih susut 48% daripada RM145.8 juta.
Vantris Energy berkata, penurunan keuntungan bersih secara berturutan itu disebabkan terutamanya ketiadaan hasil tuntutan insurans yang diiktiraf pada suku sebelumnya serta kerugian tukaran asing direalisasikan sepanjang suku berkenaan.
Kesan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh prestasi lebih baik segmen E&C serta operasi dan penyelenggaraan (O&M).
Sehingga akhir Julai 2026, kumpulan mempunyai kira-kira RM2 bilion dalam bentuk tunai, deposit dan baki bank, manakala buku tempahannya berjumlah RM7 bilion.
Bahagian kumpulan dalam buku tempahan yang dipegang menerusi syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu pula berjumlah RM2.7 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy, Muhammad Zamri Jusoh, berkata keutamaan kumpulan kini adalah menukar buku tempahan kepada pelaksanaan yang konsisten dan menguntungkan.
“Kami kekal fokus untuk mengukuhkan pendapatan operasi berulang menerusi pelaksanaan projek yang berdisiplin, kawalan kos yang ketat dan peningkatan penggunaan aset,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan turut berkata ia memantau perkembangan geopolitik dengan rapat, khususnya konflik yang berterusan di Timur Tengah, walaupun pendedahan langsungnya terhadap rantau itu kekal terhad.
Pihak pengurusan terus menilai potensi kesan perkembangan tersebut terhadap operasi dan rantaian bekalan, selain keadaan pasaran secara lebih meluas.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai 2026 (6MFY2027), keuntungan bersih Vantris Energy berjumlah RM221.1 juta, berbanding kerugian bersih RM708.7 juta setahun sebelumnya.
Hasil bagi tempoh sama susut 21.5% kepada RM1.46 bilion daripada RM1.87 bilion. - DagangNews.com






