Tune Talk anjur pertandingan cipta iklan AI, tawar hadiah RM10,000 & latihan industri

LocalTechnology
27 Jul 2026 • 6:19 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Tune Talk anjur pertandingan cipta iklan AI, tawar hadiah RM10,000 & latihan industri

Tune Talk mengumumkan pelancaran Tune Talk NextGEN, satu pertandingan yang mengajak pelajar di Malaysia menghasilkan iklan kreatif menggunakan kecerdasan buatan (AI). Menariknya, pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM10,000, selain peluang menjalani latihan industri selama enam bulan bersama Tune Talk.

Menurut Tune Talk, inisiatif ini diwujudkan untuk mencungkil bakat kreatif dalam kalangan belia, di samping memberi mereka peluang menghasilkan portfolio sebenar dan merasai pengalaman industri.

Terbuka kepada pelajar umur 18 hingga 25 tahun

View this post on Instagram

Penyertaan dibuka kepada pelajar Malaysia yang berumur 18 hingga 25 tahun, bermula 1 Julai hingga 30 November 2026. Peserta dikehendai menghasilkan iklan yang paling mewakiliki Tune Talk menggunakan AI. Penyertaan boleh dihantar dalam bentuk video pendek berdurasi kurang daripada 60 saat atau visual statik.

Selain itu, penyertaan perlu mengandungi sekurang-kurangnya satu elemen yang dijana menggunakan AI seperti visual, skrip atau suara, serta mengetengahkan elemen berkaitan telekomunikasi seperti data, kelajuan internet atau ganjaran.

Cara sertai pertandingan

Untuk menyertai Tune Talk NextGEN, peserta hanya perlu memuat naik hasil karya mereka ke Instagram, dengan tag akaun @TuneTalk, serta menggunakan tanda pagar #TuneTalk dan #TuneTalkNextGen.

Bagi memudahkan lebih ramai pelajar menyertai pertandingan ini, Tune Talk turut akan mengadakan siri jelajah ke universiti di seluruh negara. Melalui roadshow ini, pelajar boleh menghasilkan dan menghantar penyertaan mereka secara terus di lokasi.

Hadiah wang tunai RM10,000 menanti pemenang

Tune Talk menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM10,000 kepada tiga pemenang. Pemenang tempat pertama akan membawa pulang RM5,000, diikuti RM3,000 untuk naib johan dan RM2,000 bagi pemenang tempat ketiga.

Selain hadiah wang tunai, ketiga-tiga pemenang turut akan ditawarkan latihan industri selama enam bulan bersama Tune Talk, sekali gus memberi peluang kepada mereka memperoleh pengalaman bekerja dalam industri.

Pemenang diumumkan November ini

Sepanjang tempoh pertandingan, Tune Talk akan menyenarai pendek tiga finalis pada penghujung setiap bulan. Peserta yang terpilih akan dihubungi melalui mesej langsung (DM) di Instagram dan mereka perlu mengemukakan kad pelajar yang sah, salinan kad pengenalan serta borang persetujuan bagi mengesahkan kelayakan mereka.

Pemenang akan dipilih oleh panel Tune Talk berdasarkan aspek kreativiti dan dijangka diumumkan pada November 2026.

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda, generasi muda hari ini bukan lagi sekadar pengguna kandungan, malah turut menjadi pencipta kandungan. Melalui Tune Talk NextGEN, Tune Talk mahu melihat bagaimana pelajar menterjemahkan identiti jenama itu menggunakan AI, di samping mencungkil bakat kreatif baharu dalam kalangan belia Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved