Tune Talk lancar Epik+ Family: Pelan prabayar dengan 1,200GB data dan perayauan percuma di 13 negara

LocalTechnology
19 Jun 2026 • 3:26 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Tune Talk lancar Epik+ Family: Pelan prabayar dengan 1,200GB data dan perayauan percuma di 13 negara

Tengah cari pelan prabayar keluarga yang menawarkan kuota data besar pada harga berpatutan? Tune Talk kini memperkenalkan Epik+ Family, yang mereka gelar sebagai pelan keluarga prabayar pertama di Malaysia yang menawarkan nilai lebih berbaloi.

Pada harga RM128/bulan, Tune Talk menawarkan kuota data 5G/4G sebanyak 1,200GB tanpa sekatan kelajuan, panggilan tanpa had, serta fungsi E-Roaming. Kesemua kelebihan ini boleh dikongsi merentasi 5 talian mudah alih (1 talian utama + 4 talian sampingan).

Dengan ini, pelan baharu ini boleh dilihat sebagai alternatif prabayar kepada pelan keluarga pascabayar seperti U Mobile ULTRA5G Postpaid Family yang turut ditawarkan pada harga RM128/bulan.

Menurut Tune Talk, Epik+ Family direka untuk menawarkan nilai terbaik kepada isi rumah yang mahukan fleksibiliti pelan prabayar tanpa terikat dengan kontrak. Pelan ini berjalan mengikut kitaran prabayar 30 hari dan pelanggan bebas untuk menukar atau menghentikan langganan pada bila-bila masa. Semua talian tambahan juga boleh diuruskan menerusi satu aplikasi Tune Talk.

Dari segi data, pelanggan menerima kuota sebanyak 1,200GB data 5G dan 4G yang dikongsi antara semua talian dalam pelan keluarga tersebut. Seperti biasa untuk penawaran Tune Talk, data ini hadir dengan kelajuan penuh tanpa sekatan (uncapped speed) sehingga 900Mbps tanpa sebarang FUP tersembunyi. Panggilan tanpa had ke semua rangkaian turut disertakan.

Selain data yang besar, Tune Talk turut membezakan pelan ini dengan ciri E-Roaming, yang berfungsi seperti konsep “Roam Like Home”. Menerusi ciri ini, pelanggan boleh menggunakan kuota data sedia ada mereka di luar negara tanpa perlu membeli pas roaming tambahan.

Ditawarkan sebagai versi Beta buat masa ini, ciri E-Roaming (bernilai RM300) membolehkan anda menggunakan kuota data sedia ada apabila melancong ke negara seperti Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura, India, Vietnam, Filipina, Korea Selatan, Arab Saudi, Kemboja, New Zealand, Australia, dan Brunei.

Perlu diingatkan bahawa ciri E-Roaming ini tertakluk kepada Polisi Penggunaan Saksama (FUP) harian sebanyak 2GB/hari, bergantung kepada negara yang dilawati. Tune Talk turut memaklumkan bahawa had 2GB sehari ini diberikan secara individu kepada setiap talian dalam pelan Epik+ Family.

Selain data dan perayauan, Pelan Epik+ Family ini turut menawarkan perlindungan Insurans Kemalangan Diri (PA) percuma bernilai RM50. Insurans PA ini memberikan perlindungan keseluruhan sehingga RM500,000, di mana setiap ahli di bawah pelan tersebut dilindungi sebanyak RM100,000 seorang.

Lebih menarik, langganan ini juga disertakan dengan pakej promosi FoodPanda bernilai RM34.50 serta akses kandungan ekstra di dalam aplikasi seperti Permainan (Games), Drama, dan Nova (Astrologi) yang bernilai RM300 secara keseluruhan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelan baharu ini, pengguna boleh melayari laman rasmi Tune Talk Epik+ Family.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved