Tunggakan Isu Pentadbiran: Exco Negeri Sembilan Bakal Bersidang 2 Kali Seminggu

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 4:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tunggakan Isu Pentadbiran: Exco Negeri Sembilan Bakal Bersidang 2 Kali Seminggu

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, merancang mengadakan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebanyak dua kali seminggu bermula minggu depan, bagi menyelesaikan hampir dua bulan urusan pentadbiran yang tertangguh susulan pelantikan enam anggota Exco baharu.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan pada peringkat awal akan diadakan setiap Selasa dan Khamis, namun kekerapan itu boleh ditambah sekiranya perlu bagi mempercepatkan keputusan berhubung pelbagai perkara yang melibatkan kepentingan rakyat.

“Seperti yang diketahui, hampir dua bulan tiada mesyuarat Exco diadakan menyebabkan banyak kertas kerja tertangguh, kebanyakannya berkaitan kepentingan rakyat.

“Insya-Allah, seawal minggu depan saya akan menetapkan mesyuarat Exco pada Selasa dan Khamis. Kita mungkin mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap bagi mempercepatkan penyelesaian perkara yang masih tertunggak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri istiadat mengangkat sumpah enam anggota Exco baharu di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, pada Jumaat.

Mengulas pembahagian portfolio, Ismail berkata keputusan mengenainya akan dimuktamadkan dalam tempoh sehari dua lagi, memandangkan jumlah anggota Exco yang diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, adalah seramai enam orang.

Katanya, beberapa portfolio berkemungkinan digabungkan bagi memastikan urusan pentadbiran dapat disusun dengan mengambil kira bidang tugas yang mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“Buat masa ini, belum ada portfolio yang ditetapkan. Saya memohon masa sehari dua lagi untuk memuktamadkannya kerana jumlah anggota Exco yang diperkenankan setakat ini ialah enam orang.

“Kita mempunyai banyak portfolio dan mungkin perlu menggabungkan beberapa daripadanya. Perkara ini memerlukan pertimbangan teliti, khususnya bagi portfolio yang mempunyai bidang tugas berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, senarai pembahagian portfolio akan diumumkan sebaik sahaja dimuktamadkan.

Sementara itu, berhubung persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang serta pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027, beliau berkata kedua-dua perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco yang akan datang.

Cadangan tarikh bagi kedua-dua urusan berkenaan kemudiannya akan dikemukakan kepada Tuanku Muhriz untuk mendapatkan perkenan baginda.

Ditanya mengenai ketiadaan wanita dalam barisan Exco baharu, Ismail berkata perkara itu boleh dipertimbangkan pada masa akan datang.

“Orang lelaki juga boleh melakukan tugas wanita. Menteri wanita pun ada yang menjalankan tugas lelaki, bukan? Tidak mengapa, perkara itu akan kita teliti kemudian,” katanya. - Getaran, 27 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved